Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
781) ARTIKEL PILIHAN DARI BERITA HARIAN : Sekolah satu aliran jamin survival bangsa
21 Jun 2013

Byline / Author:
Oleh Manja Ismail
Hakikat bahawa
semakin banyak desakan termasuk daripada kalangan cendikiawan Cina sendiri
supaya sistem persekolahan satu aliran diperkenalkan, menunjukkan kebimbangan
terhadap tahap perpecahan kaum di negara ini sekarang, dikongsi oleh majoriti
rakyat.
Kecuali pertubuhan
pendidikan cauvinis Cina dan parti politik yang menjadikan isu perkauman
sebagai talian hayat perjuangan mereka, semua pihak mengakui dasar yang
membenar dan menggalakkan kehadiran sekolah jenis kebangsaan menjadi penghalang
utama perpaduan kaum.
Terbaru ialah
Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, yang berkata kewujudan 61
sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan (SJK) menjadi punca
kepada rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama
lain.
Bagaimanapun,
kenyataan Dr Teo itu bukan yang pertama daripada tokoh pendidikan Cina.
Pelbagai kajian dan buku mengenai perpaduan kaum atau pembentukan bangsa
Malaysia, sepakat mengaku sistem pendidikan adalah alat utama ke arah mencapai
perpaduan nasional.
Perpaduan kaum
Seorang lagi tokoh
akademik Cina, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim lima tahun lalu pernah
menyarankan kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan
antara kaum tercapai.
Malah, saranannya
ketika itu turut dibahaskan di Dewan Rakyat dan mendapat sokongan beberapa ahli
Parlimen pembangkang, termasuk Tony Pua dari DAP.
Bagaimanapun,
saranan itu hilang begitu saja sehingga keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) baru-baru ini yang menunjukkan tahap semangat perkauman di negara ini
sekarang.
Walaupun sekolah dan
bahasa kebangsaan dikenal pasti seawal Penyata Razak pada 1959, sebagai alat
utama perpaduan kaum dan pembentukan bangsa, ternyata pertimbangan politik
sejak itu sehinggalah sekarang menyukarkannya daripada kenyataan.
Kesannya bukan saja
semangat perkauman semakin menebal, tetapi bahasa kebangsaan yang menjadi
faktor perpaduan di negara majmuk lain, menjadi terpinggir di negara sendiri.
Lebih malang, dasar pendidikan yang bercelaru kerana sering berubah atas
pertimbangan politik, memberi ruang lebih luas kepada kaum tertentu untuk
menuntut yang kononnya ‘hak’ mereka.
Kalau dulu, istilah
perpaduan nasional menjadi ungkapan penting dan dilihat mahu diperjuangkan oleh
setiap parti politik, keadaan sebaliknya berlaku sekarang. Hari ini, mereka
yang memperkatakan perkara sebenar dan menganjur perpaduan nasional, bukan saja
dianggap kolot, malah perkauman seperti berlaku ke atas bekas Hakim Mahkamah
Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.
Pembentukan satu
bangsa
Mohd Noor hanya
menterjemahkan Perlembagaan Negara yang tidak mengiktiraf sekolah jenis
kebangsaan dan menyaran agar ia dihapuskan. Kenyataannya itu menimbulkan
kemarahan puak pelampau Cina sedangkan saranan itu sama dengan desakan supaya
persekolahan satu aliran diperkenalkan.
Kita tidak tahu
bagaimana berakhirnya isu desakan supaya sistem persekolahan ini berakhir. Apa
yang pasti, soal perpaduan nasional dan pembentukan satu bangsa, walaupun apa
pun istilahnya, mustahil menjadi kenyataan jika kita terus tunduk terhadap
desakan dan bantahan bercorak perkauman.
Bagaimanapun jika
selama ini pertimbangan politik menjadi kekangan utama dalam mengorak langkah
sebenar ke arah perpaduan nasional, inilah ketikanya untuk memperbetulkan
keadaan. Keputusan PRU-13 jelas membuktikan pendekatan berhubung isu ini,
melebarkan lagi jurang perkauman.
Sudah tiba ketikanya
pendekatan lain diambil tanpa terlalu bergantung kepada pertimbangan politik
jangka pendek. Apa yang penting sekarang ialah generasi masa depan dan survival
bangsa, bukan kelompok perkauman sempit yang semua orang tahu agenda politik
mereka.