Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
802) BERNAMA 2/7/13-Sekolah Vernakular Perlu Penambahbaikan – Ahli Akademik
02 Jul 2013

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) — Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam sistem pendidikan khususnya sistem sekolah vernakular, dengan matlamat akhirnya memupuk perpaduan rakyat dan penyatuan kaum di negara ini, menurut seorang ahli akademik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata kerajaan perlu mengkaji semula silibus dan subjek yang digunakan di semua sekolah termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

“Tindakan kerajaan untuk mengekalkan sekolah vernakular perlu diterima rakyat.

“Pada masa sama, kerajaan perlu pastikan setiap sekolah memberi penekanan kepada subjek Kenegaraan, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik/Moral dengan mewajibkan setiap pelajar mengambil mata pelajaran itu setiap tahun dan mesti lulus dalam peperiksaan,” katanya kepada Bernama.

Bagi tujuan memartabatkan pendidikan negara, kerajaan pada 13 Jun lepas memutuskan untuk mengekalkan sistem sekolah vernakular seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Keputusan itu dibuat ekoran desakan 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam agar kerajaan mengkaji pelaksanaan hanya satu sistem persekolahan bagi menangani jurang perkauman di negara ini.

Mengikut data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Negara, sehingga 30 April lepas terdapat 1,294 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 523 SJK Tamil, dengan jumlah murid di kedua-dua jenis sekolah ialah 658,137 orang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata kajian pihaknya dengan beberapa tokoh masyarakat Cina dan India mendapati kewujudan sekolah aliran menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak merdeka.

Junaidi, yang juga penganalisis politik, turut mencadangkan sistem sekolah vernakular hanya dilaksana di peringkat awal pendidikan iaitu tadika dan sekolah rendah.

“Apabila ke peringkat sekolah menengah perlu ada hanya satu sistem persekolahan iaitu sekolah menengah kebangsaan yang bersifat menyatupadukan semua kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata kewujudan sekolah menengah jenis kebangsaan yang mengkhususkan kepada kaum tertentu tanpa disedari menjadi ‘tembok pemisah’ kepada usaha penyatuan kaum di negara ini.

Katanya pelaksanaan hanya satu sistem persekolahan menengah dapat mendidik dan menekankan kepada pelajar unsur-unsur kenegaraan, sejarah dan nilai murni hidup bermasyarakat, seiring dengan keupayaan mereka untuk lebih memahami satu sama lain.

“Sistem sekolah vernakular di peringkat sekolah menengah secara tidak langsung meminimumkan integrasi kaum, pemupukan semangat cintakan negara selain kurangnya penerapan terhadap nilai murni hidup dalam masyarakat majmuk kepada generasi muda.

Junaidi berpendapat sekiranya kerajaan masih menggunakan sistem sekolah vernakular di peringkat menengah, ia dikhuatiri akan terus ‘menjarakkan’ hubungan kaum dan membawa kepada sikap tidak menghormati Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, menghina bendera Malaysia dan memperlekeh Yang di-Pertuan Agong seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Di samping itu, pengecualian penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah jenis kebangsaan sedikit sebanyak menghakis kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata penekanan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa utama negara sangat penting, tanpa mengabaikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa lain dijadikan subjek pilihan.

Selain itu, perhatian perlu diberi kepada subjek yang boleh memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional semua kaum di negara ini seperti Sejarah, Agama, Pendidikan Moral/Sivik.

“Pada hari ini, ibu bapa dan pihak sekolah lebih terarah kepada disiplin subjek Sains dan Matematik tetapi tidak fikir pula soal disiplin dan pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak dalam memupuk semangat cintakan negara.

“Hakikatnya, penekanan subjek tertentu perlu diberi perhatian kerana sikap hormat-menghormati dan semangat perpaduan yang dicanai mampu membentuk jalinan hubungan rapat antara kaum sekaligus memecahkan benteng antara kaum,” katanya.

— BERNAMA