Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
828) MINGGUAN MALAYSIA 14/7/13-Tutup Kedutaan Vatican City
14 Jul 2013

Nasharudin Mat Isa pada sidang akhbar bagi membantah kenyataan Duta Vatican City yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 13
Julai – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu yang sebelum ini
mahu Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino diusir, hari ini
mendesak kerajaan menutup pejabat kedutaannya di sini.
Tindakan tegas itu
wajar kerana Marino melanggar had sebagai seorang duta sebagaimana peruntukan
Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 kerana mencampuri urusan
dalaman Malaysia dengan menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut
Kristian di negara ini.
Jurucakap gabungan
NGO Islam-Melayu, Nasharudin Mat Isa berkata, Marino dengan sengaja serta
berniat jahat membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan Islam-Kristian
di Malaysia sekali gus perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam di
Malaysia.
“Kenyataannya
yang bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia merupakan perbuatan
yang disengajakan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
“Kita menuntut
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memanggil Marino dan diberikan kata
dua,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, NGO
Islam-Melayu mendesak kerajaan mengusir Marino kerana menyokong penggunaan
kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.
Gabungan tersebut
mewakili beberapa NGO Melayu dan Islam antaranya Yayasan Nassar, Pertubuhan
Jalur Tiga (Jati), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat),
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Turut berada dalam
gabungan itu adalah Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela),
Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia dan Suara Anak Muda
1Malaysia.
Marino dalam
wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini kelmarin
menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan
kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.
Dalam perkembangan
berkaitan, Nasharudin yang juga Pengerusi Yayasan Nassar percaya Marino seorang
yang arif tentang Malaysia sesuai dengan pelantikannya sebagai Duta Vatican
City ke negara ini.
“Saya juga
percaya Marino amat mengetahui apa yang patut dan apa yang tidak boleh
diperkatakan mengenai Malaysia dan sebagai tetamu negara berstatus duta, salah
satu elemen terpenting, beliau sama sekali tidak dibenarkan mencampuri hal
dalaman negara.
“Marino juga
perlu menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh tujuh hari bermula
semalam,” katanya.
Sementara itu,
Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali berkata, tindak-tanduk duta
berkenaan boleh memberi ancaman serius kepada negara jika tidak dibendung
kerajaan.
Beliau berkata,
perkara itu berikutan kalimah Allah merupakan hak eksklusif dan isu paling
sensitif bagi umat Islam di negara ini.
“Penekanan juga
perlu dibuat bahawa isu ini bukan isu NGO semata-mata tetapi merupakan isu yang
perlu dihadapi bersama setiap umat Islam di negara ini,” katanya.
Presiden Muafakat,
Ismail Mina Ahmad pula berkata, Marino bukan seorang yang bijak selepas
bertindak menyentuh urusan dalaman negara apatah lagi isu berkenaan masih di
peringkat mahkamah.
“Kita faham
kehadirannya ke sini akan memantapkan lagi persefahaman antara Islam dan
Kristian, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Saya teringat
firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud ‘Dan orang-orang
Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan reda kepada kamu sehinggalah kamu
mengikut agama mereka’,” katanya.