Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
862) UTUSAN MALAYSIA 13/8/13- 1-300: Kerajaan perlu campur tangan tetapkan caj
24 Aug 2013

KUALA LUMPUR 12 Ogos
– Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menggesa kerajaan campur
tangan dalam penetapan caj talian hotline 1-300 oleh syarikat telekomunikasi di
negara ini yang dilihat membebankan pengguna.
Presidennya, Datuk
Dr. Jacob George berkata, campur tangan kerajaan itu mampu mengekang pihak
tertentu daripada mengambil kesempatan atas perkhidmatan tersebut.
Menurut beliau,
pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna berkenaan caj talian hotline
1-300 yang tinggi terutama bagi pengguna telefon bimbit.
“Kita tidak
mahu ada segelintir syarikat penyedia perkhidmatan atau syarikat telekomunikasi
mengambil kesempatan memonopoli keuntungan daripada caj ini tanpa kawalan.
“Oleh itu, satu
tindakan serius dan komprehensif perlu diambil kerajaan bagi memastikan tiada
penindasan berlaku ke atas pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di
sini baru-baru ini.
Dalam pada itu,
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan
berkata, syarikat penyedia perkhidmatan perlu mencontohi Malaysian Airlines
System Bhd. (MAS) dalam menyediakan talian 1-300.
Katanya, walaupun
mengguna pakai talian 1-300 dengan pilihan bahasa, menu perkhidmatan dan
promosi namun syarikat itu menyediakan khidmat panggilan semula supaya pelanggan
tidak menunggu lama.
“Ini salah satu
langkah yang baik bagi memastikan caj yang dikenakan kepada pelanggan tidak
tinggi terutama dalam menunggu untuk dilayan pegawai khidmat pelanggan syarikat
terbabit,” katanya.
Selain itu, Nadzim
turut bersetuju supaya kerajaan campur tangan dan menyemak penetapan caj talian
hotline tersebut.
Katanya, setiap
pelanggan yang menggunakan khidmat talian 1-300 perlu dimaklumkan mengenai caj
yang dikenakan bagi mengelak mereka terbeban dengan kos.
“Walaupun
jumlah itu kecil seperti 30 sen hingga RM1, namun caj tersebut memberi
keuntungan berlipat ganda kepada pihak terbabit.
“Cuba bayangkan
jika setiap pelanggan dikenakan caj 30 sen seminit dan sebuah syarikat
telekomunikasi mempunyai 14 juta pelanggan yang menggunakan perkhidmatan
tersebut, berapa keuntungan yang diperoleh mereka,” katanya.
Sehubungan itu,
Nadzim mencadangkan syarikat penyedia perkhidmatan bertukar kepada talian
hotline 1-800 yang dilihat memberi manfaat kepada pengguna kerana tiada bayaran
dikenakan ke atas mereka.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130813/lk_03/1-300:-Kerajaan-perlu-campur-tangan-tetapkan-caj#ixzz2csObZAEo © Utusan Melayu (M)
Bhd