Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
881) UTUSAN MALAYSIA 4/9/13-Persatuan Pengguna sifatkan keputusan mengejut
04 Sep 2013

KUALA LUMPUR 2 Sept.
– Beberapa persatuan pengguna menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan harga
petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini
sebagai terlalu mendadak.
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan
Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, keputusan itu dikhuatiri
bakal mengundang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain sekiranya
golongan peniaga daripada pelbagai sektor mengambil kesempatan.
Sambil melahirkan rasa
terkejut, beliau turut bimbang kenaikan itu akan memberi impak kepada semua
peringkat rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
“Golongan
peniaga sudah semestinya akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang
termasuk dalam sektor pengangkutan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan harga minyak petrol
RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.
Menurut Najib,
keputusan itu merupakan sebahagian daripada proses merasionalisasi subsidi.
Dalam pada itu,
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob
George berkata, kenaikan harga petrol tersebut mengejutkan kerana kerajaan
sudah memberi jaminan akan mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat
terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Keputusan ini
amat mengecewakan kerana pengguna petrol RON 95 adalah mereka yang
berpendapatan rendah.
“Kerajaan juga
sebelum ini berjanji tidak akan menaikkannya kecuali ada kes-kes kecemasan atau
dinaikkan secara berperingkat-peringkat supaya tidak membebankan pengguna,
tetapi keputusan hari ini adalah sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu,
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan
berkata, kerajaan diharap mencari kaedah dan alternatif lain berbanding
menaikkan harga petrol dalam merasionalisasikan subsidi.
Menurut beliau,
antara langkah yang boleh dilakukan adalah mengawal ketirisan bahan bakar
tersebut selain menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan sebagai salah satu
bentuk kawalan.
“Kita berharap
kerajaan dapat mengkaji semula atau mengawal ketirisan dan penyeludupan petrol
dan diesel supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130903/dn_05/Persatuan-Pengguna-sifatkan-keputusan-mengejut#ixzz2dtfHwOvl © Utusan Melayu (M)
Bhd