Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
883) BERNAMA 2/9/13-Kenaikan Harga Minyak: Pertingkat Pengangkutan Awam Untuk Kurang Beban Pengguna
05 Sep 2013

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Kerajaan perlu
mengambil tindakan drastik mempertingkat perkhidmatan pengangkutan awam sebagai
langkah mengurangkan beban pengguna selaras kenaikan harga minyak RON95 dan
diesel yang diumum hari ini.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Dr Maamor Osman, bagaimanapun, berkata beberapa mekanisme yang
efisien boleh menyeimbang tekanan kepada pengguna kesan kenaikan itu.
“Kita faham langkah kerajaan ini untuk
mengurangkan subsidi… ini satu langkah yang perlu… tapi dalam keadaan ekonomi
yang lembap, pendapatan yang tidak meningkat… ia sedikit sebanyak akan
membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Justeru kerajaan perlu mencari mekanisme
tertentu, antaranya memastikan sistem pengangkutan awam yang bersih, selamat,
efisien dan menepati waktu sebagai alternatif kepada rakyat,” katanya
ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak berhubung kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak
20 sen bermula tengah malam ini.
Maamor berkata kerajaan juga mungkin boleh
memperkenal rebat pembelian minyak kepada pengguna motosikal serta kenderaan
nasional, yang rata-ratanya berpendapatan sederhana dan rendah.
“Contohnya mewujudkan kad pintar untuk
warganegara Malaysia yang menggunakan motosikal dan kereta nasional, yang mana
mereka boleh dapat rebat apabila mengisi minyak,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan mencari
inisiatif bagi mendisiplinkan peniaga yang rakus mencari keuntungan dan
menaikkan harga barangan sesuka hati bersandarkan alasan kenaikan harga minyak.
Sementara itu, Presiden Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu berkata hampir
90 peratus rakyat di negara ini menggunakan RON95.
“Sebab itu, kerajaan perlu mencari langkah sesuai
dengan meningkatkan sistem pengangkutan awam yang terkini bagi membantu
rakyat,” katanya.

— BERNAMA