Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
885) BERITA HARIAN 4/9/13 : Ambil tindakan syarikat penerbangan kena caj pemprosesan
05 Sep 2013

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat penerbangan
yang mengenakan caj pemprosesan terhadap pengguna yang membeli tiket secara
debit terus dan kad kredit.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, berkata dalam
tempoh kira-kira dua minggu, pihaknya menerima 60 aduan menerusi internet dan
bertulis, pengguna yang tidak puas hati terhadap langkah Air Asia Berhad (Air
Asia) mengenakan caj pemprosesan RM4 bagi pembelian tiket menerusi debit terus
sehala dan RM8 bagi penggunaan kad kredit sehala.
Justeru, katanya, kementerian berkaitan, termasuk
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta
Kementerian Pengangkutan, wajar mengambil tindakan.
Maklumkan kepada pengguna
Bercakap pada sidang media semalam, Nadzim berkata,
pengguna sepatutnya dimaklumkan terlebih dulu sebelum dikenakan caj tambahan
itu dan Air Asia perlu mendapat kelulusan kerajaan untuk mengenakan sebarang
caj tambahan.
Air Asia dalam kenyataannya berkata yuran
pemprosesan berkenaan dikenakan kerana syarikat menggunakan sistem keselamatan
tinggi bagi urus niaga dalam talian menerusi kad kredit, kad debit, kad caj dan
debit terus supaya pengguna lebih selamat dan selesa.
“Fi pemprosesan dikenakan bagi menampung
sebahagian daripada kos yang diperlukan bagi proses menaik taraf, pembaikan dan
peningkatan ciri keselamatan bagi pembayaran dalam talian,” katanya.
Syarikat berkenaan berkata, caj RM4 bagi urus niaga
debit terus mula dikenakan pada 7 Ogos 2013 manakala bagi kad kredit, kad debit
dan kad caj sejak November 2009.