Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
949) UTUSAN MALAYSIA 31/10/13-Minyak masak kitar semula
05 Nov 2013

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Hampir 90 peratus minyak masak di pasaran
dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang telah
digunakan.
Perkara itu didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sekali gus mendesak kerajaan memandangkan
serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
Malah, menurut beliau, aktiviti kutipan, penghasilan dan jualan minyak
masak terpakai telah lama berlaku di negara ini serta merupakan satu industri
yang besar.
Lebih mengejutkan lagi, sebahagian besar minyak masak dikitar semula
itu dijual dalam bentuk paket.
“Mereka (pengusaha) membeli minyak masak
terpakai di restoran makanan segera untuk dikitar semula dan kemudiannya
dicampur dengan minyak baharu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari
ini.
Beliau berkata, hasil soal selidik yang dijalankan aktivis PPIM
melibatkan kira-kira 70 buah restoran dan gerai makan di beberapa kawasan di
sekitar Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga menggunakan minyak masak
kitar semula.
“Minyak masak yang dipaketkan itu bukan
daripada jenama terkenal dan ramai peniaga yang tidak sedar mereka menggunakan
minyak masak kitar semula,” katanya.
Menurut Nadzim, status halal minyak masak itu juga meragukan kerana
mungkin diambil daripada restoran bukan Islam.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu
bekerjasama membanteras aktiviti tersebut.
“Selain menipu pengguna, pengusaha
terlibat turut mengeksport minyak masak itu dengan mendakwa produk tersebut
adalah halal,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kris Biofuels Sdn. Bhd.,
Ja’afar Abdullah memberitahu, aktiviti kutipan dan
jualan minyak masak terpakai melanggar undang-undang dan peraturan MPOB.
Katanya, lesen yang dikeluarkan MPOB dengan jelas menyatakan penggunaan
minyak masak kitar semula hanya bagi tujuan menghasilkan produk biofuel.
“Isu ini wajar ditangani segera kerana
dari segi kesihatan minyak masak ini jika digunakan semula sebanyak tiga kali
akan menghasilkan komponen radikal bebas yang boleh mengakibatkan kanser dan
kerosakan hati,” katanya.

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131031/dn_06/Minyak-masak-kitar-semula#ixzz2jmXT8OED
© Utusan Melayu (M) Bhd