Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
961) UTUSAN MALAYSIA 1/11/13-Kementerian sedia siasat pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
05 Nov 2013

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menyiasat pendedahan
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tentang penggunaan minyak masak kitar
semula di negara ini.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pihaknya
akan menjalankan siasatan selepas menerima laporan lengkap daripada PPIM.
“Setakat ini, pihak kementerian tidak menerima
sebarang aduan tentang masalah tersebut, oleh itu, kita berharap PPIM dapat
segera memberikan maklumat dan butiran tersebut supaya siasatan terperinci
boleh dijalankan, sekali gus mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan,”
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia
tentang isu bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran, dipercayai hasil
kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.
Perkara itu didedahkan Ketua Aktivis Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sekali gus mendesak
kerajaan memandangkan serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan kesihatan
pengguna.
Dalam pada itu, Hasan turut memuji usaha yang
dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam membantu kementerian
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pengguna di negara ini.
“Kami sentiasa mendapat kerjasama yang baik
daripada PPIM serta pelbagai NGO lain dan saya amat mengalu-alukan usaha
sebegitu untuk kebaikan pengguna kita,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, PPIM sedia
bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu kitar semula minyak masak
yang telah digunakan yang dipercayai berada di pasaran.
Nadzim berkata, apa yang dilaporkan akhbar adalah
maklumat yang diterima daripada bekas pekerja kilang-kilang minyak.
Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan ke
beberapa gerai makan, pasar malam dan kuih-muih di sekitar Lembah Klang.
”Kita harap pihak Kementerian Kesihatan dapat
periksa semua tempat gerai makan, pasar malam dan gerai kuih yang menggunakan
minyak.
”Kita hanya membuat siasatan dalam skala kecil di
sekitar Kuala Lumpur dan mungkin mereka (kementerian) boleh buat sampel dalam
skala besar,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia)
Berhad di sini hari ini.
Menurut Nadzim, PPIM bukan nak berlawan dengan
kementerian tentang isu ini tetapi jika keraguan timbul berdasarkan maklumat
yang diterima, kementerian boleh membuat siasatan secara menyeluruh.
Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr.
Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya di Putrajaya hari ini berkata, pihaknya
akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Makanan 1983 terhadap mana-mana
pihak yang didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai
yang diproses semula.
Katanya, tindakan itu boleh diambil di bawah
Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda
tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 10 tahun atau
kedua-duanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131101/dn_13/Kementerian-sedia-siasat-pendedahan-Persatuan-Pengguna-Islam-Malaysia#ixzz2jmyArzu6 © Utusan Melayu (M) Bhd