Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
962) SINAR HARIAN 1/11/13-Program harus seimbang
05 Nov 2013

SHAH ALAM – Program Restoran Menu Rakyat 1Malaysia harus diseimbangkan
dari segi sokongan dan bantuan mempromosikan kewujudannya agar pengguna serta
pengusaha sama-sama mendapat manfaatnya.
Setiausaha Agung Ga­bu­ngan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)
Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, walaupun tujuan program Menu Rakyat
1Malaysia diperkenalkan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah
tetapi pihaknya tidak terlibat dalam mempromosikan mana-mana perniagaan
bersifat komersil.
“Usaha ini amatlah dialu-alukan tetapi kerajaan perlu mengadakan
promosi lebih agresif terhadap premis-premis yang menyertainya.
“Fomca hanya dapat memberi nasihat dan pandangan atas kerjasama
pengusaha restoran Menu Rakyat 1Malaysia dengan kerajaan untuk menjayakan lagi
program ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, rungutan pengusaha yang tidak dapat menanggung kos operasi
dan pulangan modal perlu dibincangkan bersama pihak berwajib seperti pihak
berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan.
“Saya tidak melihat pemberian subsidi dapat membantu kerana ia akan
menjadi suatu perniagaan yang tidak berdaya maju dan hanya mengharapkan bantuan
semata-mata.
“Pengusaha harus memilih premis yang bersesuaian dengan kadar sewa
berpatutan tanpa bergantung kepada mana-mana pihak untuk menampung kos
operasi,” katanya.
Muhammad Sha’ani berkata, kerajaan harus menggalakkan PBT untuk
menyediakan premis-premis yang bersesuaian dengan kadar berpatutan untuk
pengusaha-pengusaha skim ini.
“Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) disaran mewujudkan mewujudkan panduan harga bagi makanan dan minuman
berdasarkan sewa premis supaya pengguna mempunyai pilihan terhadap premis harga
patut.
“Jika diteliti, gerai juga mengenakan harga sama dengan restoran,
walaupun kadar sewa kedua-dua premis jauh berbeza,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Ma’amor Osman berkata, sesuatu perniagaan makanan yang hendak
dijalankan mesti ada perancangan terperinci melibatkan harga makanan dan sewa
premis.
“Semua pihak seperti PBT, KPDNKK dan pengusaha harus berbincang untuk
mengenakan kadar sewa premis seminimum mungkin bagi mengatasi beban operasi
yang ditanggung peniaga.
“PPIM hanya dapat membantu dari segi mempromosikan gerai atau restoran
yang terlibat dalam program Menu Rakyat 1Malaysia di dalam ruangan promosi di
radio kerana kami mempunyai slotnya,” katanya.
Ditanya mengenai perubahan harga di luar bandar yang dikatakan naik
setelah memperkenalkan menu rakyat 1Malaysia ini, Ma’amor berkata, seharusnya
pembeli menilai kuantiti dan bahan yang dimasukkan dalam makanan itu.
“Sebagai pembeli mereka harus bijak menilai tentulah kos di bandar
lebih tinggi berbanding luar bandar. Sudah tentu nasi lemaknya sedikit
berbanding jumlah di luar bandar.

“PPIM sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mempromosikan
premis dan makanan mereka dengan harga berpatutan kerana kami mempunyai waktu
siaran klinik pengguna di radio,” katanya.