Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
974) UTUSAN MALAYSIA 6/11/13-GLC gagal perkasa Melayu
07 Nov 2013

Oleh SYUKRI SHAARI pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov.
– Pengerusi-pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dibidas kerana didakwa
‘gagal’ mencapai matlamat membantu syarikat serta usahawan Melayu dan
bumiputera memperkasakan kedudukan ekonomi kaum majoriti itu.

Ketua Wira
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata,
sehingga ke hari ini, GLC masih tidak berjaya memainkan peranan menerusi Dasar
Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu golongan tersebut yang hanya mencapai sekitar
11 peratus.
Katanya, sebagai
organisasi yang mendapat suntikan daripada kerajaan, GLC sewajarnya memberi
perhatian lebih kepada usaha membangunkan ekonomi orang Melayu serta
bumiputera, tetapi malangnya kerangka itu tidak berlaku pada hari ini.
“Setakat ini,
kita lihat GLC gagal memainkan peranan tersebut. Penglibatan GLC hanya
mencatatkan peningkatan tujuh peratus sahaja penglibatan Melayu dan bumiputera
yang sasaran sepatutnya ialah 30 peratus.
“Perkembangan
ekonomi orang Melayu masih di takuk lama, tiada perubahan. Pengerusi-pengerusi
GLC sewajarnya bersikap lebih produktif, bantu orang Melayu dan bumiputera,
sampai bila golongan ini hanya mempunyai kuasa membeli sahaja,” katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas
dakwaan beberapa pihak kebelakangan ini termasuklah Ketua Aktivis, Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa GLC kurang memberi
perhatian kepada syarikat serta pekerja berketurunan Melayu.
Malah, banyak juga
pihak termasuk ahli akademik iaitu pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia
(USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff menempelak peranan GLC yang tidak
mengutamakan akhbar Melayu dalam memberi iklan.
Presiden Majlis
Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula memberitahu, isu membabitkan
keprihatinan GLC terhadap syarikat-syarikat Melayu termasuk dalam industri
persuratkhabaran sudah lama timbul.
Kata beliau,
malangnya sehingga ke hari ini masalah itu seolah-olah tidak dipandang oleh GLC
dan tiada inisiatif dilaksanakan untuk ‘memperbetulkan’ situasi berkenaan.
“Kita faham,
GLC perlu dilihat memenuhi piawaian yang tinggi bertaraf antarabangsa, tetapi
itu bukannya tiket untuk mereka mengabaikan agenda memperkasa ekonomi
syarikat-syarikat Melayu termasuklah akhbar-akhbar berbahasa Melayu.
“Apabila kita
bangkit isu ini, kita dikritik. Apabila akhbar seperti Utusan Malaysia menegur
perkara ini, akhbar itu dihentam tetapi itulah situasinya pada hari ini, GLC
dilihat gagal membantu syarikat, usahawan, orang Melayu serta bumiputera,”
jelas beliau.
Mengulas lanjut,
Mohamed Maliki meminta kerajaan meneliti terlebih dahulu latar belakang
individu yang mahu dilantik menerajui sesebuah GLC bagi memastikan kepentingan
ekonomi orang Melayu sentiasa menjadi agenda.
“Pilih calon
yang cenderung serta mempunyai jati diri untuk membantu bangsa sendiri, khusus
dalam aspek pembangunan ekonomi. Saya bukan mahu bersikap cauvinis, tetapi
dalam hal ini kita telah jauh ketinggalan, kalau bukan bangsa sendiri yang
membantu, siapa lagi?” ujar beliau.
  

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131106/dn_16/GLC-gagal-perkasa-Melayu#ixzz2jwGOr6bB
© Utusan Melayu (M) Bhd