Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
986) HARIAN METRO 13/11/13-Merana nak untung cepat
15 Nov 2013

Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling; Nur
Hamizah Abd Kadir
Kuala Lumpur: Seramai 17 lelaki kemungkinan
diisytihar muflis kerana masing-masing menanggung ansuran bulanan beberapa
kenderaan yang dibeli untuk disewakan kepada sebuah syarikat sewa kenderaan.
Sehingga kini mereka tidak mengetahui di mana semua
kenderaan itu yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM4 juta berada serta
digunakan oleh siapa.
Menerusi laman sosial Facebook, mereka mula
menyedari ditipu pemilik syarikat itu yang menukar syarat dan terma perjanjian
yang berat sebelah serta mengundang risiko bankrap kepada kumpulan pemuda
berkenaan yang rata-rata berusia bawah 30 tahun.
Menurut jurucakap kumpulan terbabit, Firdaus Ayob,
mereka diperkenalkan dengan perniagaan ‘untung cepat’ itu menerusi seorang
kenalan yang mendakwa mampu menjana pulangan lumayan dan hanya perlu menyewakan
kereta kepada orang ramai terutama pelajar universiti.
Mempunyai cawangan di 16 tempat berbeza termasuk
Shah Alam, Puncak Alam, Serdang dan Tanjung Malim, Firdaus berkata, pada
mulanya dia dijanjikan bayaran RM4,000 sebulan untuk empat kereta dibeli
serentak menerusi rangkaian syarikat terbabit berharga antara RM49,000 hingga
RM75,000 seunit, awal tahun ini.
“Selama empat bulan saya mendapat bayaran
penuh, namun ia berubah sebaliknya apabila kami semua mendapat surat perjanjian
perubahan terma menyebabkan saya terkejut kerana perlu membiayai ansuran
walaupun kereta digunakan pihak lain,” katanya selepas mengadakan
pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk
Nadzim Johan di sini, semalam.
Hadir sama 16 lagi mangsa penipuan syarikat itu
yang membabitkan pembelian 53 unit kenderaan pelbagai jenis bagi tujuan usaha
sama perniagaan berkenaan.
Firdaus berkata, dia dan rakan lain kini bingung
memikirkan nasib mereka kerana perlu menjelaskan hutang selain saman yang
diterima atas kesalahan penyewa dan pelbagai risiko lain termasuk kemalangan.
“Ada di antara mereka menerima lebih 10 saman
yang dilakukan orang lain. Manakala tiga kereta milik mereka dikatakan hilang,
dicuri dan sebagainya. Kami sudah beberapa kali adukan kepada pengurusan tapi
mereka tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya minta kami patuh kepada
perjanjian,” katanya yang membuat laporan berhubung perkara itu di Balai
Polis Sungai Besi, minggu lalu.
Nasib sama dikongsi seorang lagi rakannya, Azril,
30, yang kerugian RM5,000 setiap bulan selepas terpedaya dengan pendapatan
lumayan yang dijanjikan selain menanggung 11 saman daripada tujuh unit kereta
yang dibeli daripada syarikat berkenaan.
“Mula-mula saya beli sebuah kereta dulu dan
selepas mendapat keuntungan selain melihat kejayaan syarikat yang sudah
beroperasi sejak tujuh tahun, saya menambah lagi pembelian kereta sehingga
menjadi tujuh unit.
“Saya mula sedar ditipu apabila beberapa bulan
selepas itu hanya memperoleh keuntungan RM50 untuk setiap kenderaan selain
dipaksa membayar kos baik pulih salah sebuah kereta yang terbabit dalam
kemalangan berjumlah RM2,000,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, siasatan pihaknya
mendapati wujud unsur penipuan di dalam kes itu kerana tiada peraturan yang
membenarkan kenderaan persendirian disewakan kepada orang lain.
Katanya, masalahnya ketika ini ialah kemungkinan
kereta itu disalah guna pihak tertentu untuk melakukan jenayah serta kesalahan
lain yang akhirnya mendatangkan mudarat kepada pemilik kenderaan.
“Satu lagi kita tidak menolak kemungkinan
individu ini bersubahat dengan rangkaian gelap kerana dengan begitu mudah boleh
meluluskan pinjaman beberapa kenderaan serentak walaupun ada pengadu kita
mempunyai pendapatan kurang RM1,200 sebulan.

“PPIM akan membawa perkara ini kepada pihak
berwajib bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa. Satu pengajaran kepada
kita ialah, jangan terlalu inginkan kemewahan sehingga menggadai masa depan
sendiri,” katanya.