Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Ah long pasang bom di kereta mangsa – Sinar Harian – 16/5/2017
16 May 2017

TAIPING – Niat seorang pekerja kilang kejuruteraan cuba melarikan diri daripada buruan ah long sejak lebih setahun lalu tidak berjaya apabila dia mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya selepas terkena letupan bom yang dipasang di keretanya dipercayai untuk menakutnya, dalam kejadian di Jalan Pengkalan Setia, Simpang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu itu, mangsa yang berusia 50 tahun, cedera dikedua-dua belah kakinya selepas menjadi mangsa bom buatan sendiri yang dipercayai dipasang ah long bagi tujuan mendapatkan bayaran hutang.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 10.10 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku satu letupan di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan, mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan luar rumah berhampiran jalan iaitu lokasi mangsa meletakkan kereta jenis Toyota  Corolla berwarna putih.

“Dipercayai mangsa yang bekerja di Bukit Mertajam, datang ke rumah berkenaan untuk melawat anak lelakinya sehari sebelum kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan mangsa sebelum ini pernah menetap di Taiping sekitar tahun 2014 selama satu tahun setengah.

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya pulang semula ke Bukit Mertajam dan hanya anak lelaki berusia 17 tahun sahaja tinggal di rumah berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Harrith Kam berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai hendak bergerak pulang semula ke Bukit Mertajam.

“Namun sebaik mangsa membuka pintu kereta bahagian pemandu, berlaku satu letupan yang kuat sekali gus mencederakan kedua-dua belah kakinya,” katanya.
Tambah Harrith Kam, hasil siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian, pihak polis turut menemui beberapa besi, bateri, wayar pendek dan tali.

“Semua barang-barang tersebut dipercayai adalah komponen bahan letupan ‘low explosive’ buatan sendiri bagi tujuan mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/ah-long-pasang-bom-di-kereta-mangsa-1.674854