Timbalan Presiden Gabu­ngan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOM­CA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, sindiket ah long licik mem­perdaya pihak ber­kuasa de­ngan menggunakan nombor tele­fon didaftarkan atas nama orang lain.

“Hal ini menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan dalang sebenar sindiket tersebut.

“Telco perlu bekerjasama de­ngan pihak berkuasa terutama me­nyediakan maklumat pe­milik nombor telefon dalam iklan ah long,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu mewujudkan majlis tindakan khas mengatasi lambakan iklan ah long di ibu negara.

Menurutnya, kerjasama itu merangkumi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah mengesan pemilik nombor telefon dalam iklan ah long dan memastikan mereka disenarai hitam oleh SKMM.

“Kita tidak boleh bergantung kepada PBT saja kerana sindiket ah long ini tidak pernah serik perdaya masyarakat dan ia perlu dibanteras sehingga ke akar umbi,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak pula mencadangkan kerajaan mewujudkan skim mikro kredit khas dengan proses permohonan yang mudah untuk membantu individu terdesak ban­tuan kewangan.

Katanya, kebanyakan skim bantuan yang ada memerlukan proses yang rumit, menyebabkan individu terbabit gagal mendapatkan pinjaman.