Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AKTA PEMBAZIRAN MAKANAN PERLU DIWUJUD – UTUSAN MALAYSIA – 19/6/18
19 Jun 2018

akta makanan-01

KUALA LUMPUR 18 Jun – Akta Pembaziran Makanan perlu di­wujudkan di negara ini bagi me­ngatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat di negara ini terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, isu pembaziran makanan dalam negara tidak boleh dipandang ringan kerana meli­bat­kan pembaziran ba­han utama yang me­nyumbang tenaga­ kepada semua manusia dalam dunia dan dalam masa sama akan memberi implikasi negatif terhadap tamadun peradaban manusia.

“Akta ini perlu diperkenalkan segera dan pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk pe­nalti boleh diwujudkan untuk diambil terhadap individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran tanpa me­ngira waktu dalam negara ini.

“Pada masa sama, kerajaan boleh mencontohi langkah kerajaan Perancis yang membuat peruntukan khas undang-undang yang melarang pasar raya dalam negara mereka untuk membuang makanan lebihan yang tidak dijual, selain memberikan makanan lebihan terbabit kepada persatuan-persatuan pengguna di negara berkenaan untuk di­salurkan kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyatakan terdapat keperluan terdesak untuk kerajaan menganjurkan pelbagai program kesedaran bagi membendung masalah pembaziran makanan yang semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun.

Lam Thye berkata demikian selepas memetik kenya­taan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Tek­nikal) Perbadanan Penguru­san Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang men­dakwa sebanyak ki­ra-­kira 615,000 tan metrik sisa makanan dibuang sepanjang bu­lan Ramadan yang lalu.

Sementara itu, Ke­tua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berpendapat, ke­seda­ran dalam kalangan masyarakat perlu di­tingkatkan supaya bu­daya pembaziran ini dapat dihentikan.

Menurut beliau, program pendidikan dan penguatkuasaan yang berkesan harus dijalankan supaya masyarakat mengambil serius masalah yang semakin membimbangkan ini.

“Perubahan perlu bermula dari dalam diri terlebih dahulu, masyarakat harus sedar bahawa makan secara berlebihan itu membahayakan kesihatan dan budaya membazir ini mesti dihentikan,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

AKTA PEMBAZIRAN MAKANAN PERLU DIWUJUD

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/akta-pembaziran-makanan-perlu-diwujud-1.692687#ixzz5Iq9rs935