Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AKTIVITI PPIM : MAJLIS PENERANGAN SPRM BERSAMA PPIM
29 May 2011

Nilai Sogokan Anggota Penguatkuasa Pernah Mencecah RM1 Juta

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Sepanjang April tahun lepas hingga Mac tahun ini seramai 442 orang telah ditahan kerana merasuah anggota pengguatkuasa dengan nilai sogokan tertinggi sebanyak RM1 juta.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Samsiah Abu Bakar berkata daripada jumlah tersebut 422 orang terdiri daripada lelaki, dan seramai 282 orang warga tempatan, manakala selebihnya rakyat asing.

“Nilai sogokan tertinggi secara purata adalah dari RM200,000 hingga RM1 juta dan tangkapan tersebut menunjukkan bahawa SPRM tegas dan kita harap orang ramai juga bertegas menolak tawaran rasuah biarpun dalam jumlah kecil,” katanya.

Samsiah berkata demikian dalam forum bertajuk “Ke Arah Rasuah Sifar: Peranan NGO Dalam Memerangi Rasuah” bersama Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu aktif membantu SPRM memerangi rasuah.

Ini adalah kerana NGO banyak berinteraksi dengan orang ramai dan boleh membantu menerangkan kepada mereka secara terus mengenai bahaya rasuah, katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum tersebut.

Sutinah berkata usaha membanteras rasuah tidak sepatutnya dibebankan di bahu penguatkuasa semata-mata, sebaliknya perlu dijalankan secara bersama.

— BERNAMA