Zukri Samat

Majlis penganugerahan patuh syariah berprestij buat kali pertama diadakan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, penganugerahan adalah untuk memperluaskan rangkuman kewangan Bank Islam melalui produk dan perkhidmatannya untuk turut meliputi PKS dari seluruh negara, selain memberi pengiktirafan ke atas pencapaian cemerlang PKS tempatan.

Katanya, Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan yang pertama seumpamanya bagi mengiktiraf daya usaha PKS untuk menjadi yang terbaik dalam lapan kategori anugerah yang ditawarkan iaitu Anugerah Perdana; Anugerah PKS Baharu Terbaik; Anugerah Perkhidmatan Hospitaliti Terbaik; Anugerah Perkhidmatan Pengangkutan dan Lojistik Terbaik; Anugerah Produk Pengguna Terbaik; Anugerah Produk Pertanian Terbaik; Anugerah Pemasaran Digital Terbaik; dan Anugerah Pembangunan Komuniti dan Sosial Terbaik.

“Anugerah yang pertama seumpamanya di Malaysia ini adalah hasil kolaborasi simbiotik pihak bank dengan Utusan Malaysia, sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu terulung, SME Corp. sebagai agensi penyelaras pusat PKS dan Visa Malaysia.

“Ia juga akan bertindak sebagai platform utama buat PKS patuh syariah dalam usaha menanda aras dan membangunkan jenama produk serta perkhidmatan mereka dalam menerokai bahagian pasaran yang lebih meluas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam–Utusan 2017 dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Katanya, sebanyak 48 penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup penyertaan pada 10 April 2017 yang lalu.

“Daripada jumlah tersebut, pemenang dipilih untuk memenangi anugerah dalam lapan kategori yang dipertandingkan setelah dinilai dan dihalusi berdasarkan kriteria pemarkahan yang ketat.

Bank Islam merupakan anak syarikat kepada BIMB Holdings Bhd. dan ditubuhkan pada 1983 sebagai Bank Islam pertama di Malaysia.

Sehingga kini, bank tersebut mempunyai 145 cawangan dan lebih daripada 1200 terminal layan diri di seluruh negara serta menawarkan lebih daripada 70 produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan Syariah untuk memenuhi keperluan orang Islam dan bukan Islam.