Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
APA FUNGSI PERMIT EPL? – BERITA HARIAN – 8/8/18
08 Aug 2018

https://www.youtube.com/watch?v=r1FDZT0-yXo#action=share

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta mengkaji semula keberkesanan pengeluaran permit Ejen Pemilikan Semula (EPL).

Langkah itu berikutan individu yang kebanyakan ahli kumpulan gengster penarik kereta dipercayai ‘bermaharajalela’ di jalan raya tanpa mempamerkan permit selain mendakwa tiada keperluan memiliki kad identifikasi berkenaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata individu terbabit yang seolah-olah tidak mengendahkan kepentingan permit itu menunjukkan kegagalan KPDNHEP menguatkuasakan undang-undang membabitkan penarikan kereta secara menyeluruh.

Mengikut semakan PPIM, katanya kriteria pemilikan permit juga didapati tidak ketat termasuk tidak perlu hadir untuk sesi temuduga.

“Permit itu boleh dimohon menerusi sistem dalam talian, daripada permohonan itu kementerian akan buat saringan untuk mengetahui rekod jenayah individu terbabit.

“Banyak kelonggaran di situ. Mereka tidak tahu tahap pendidikan pemohon yang mana kita berpendapat sangat penting dalam hal ini.

“Kita mahu mereka yang menarik kereta mempunyai pengetahuan dan memahami selok-belok prosedur menarik kereta, bukan sekadar ‘tangkap muat’,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan, Mohammad Hisham Shafie.

Selain itu, Nadzim berkata bank sebagai orang tengah dalam isu penarikan kereta perlu berperanan untuk memastikan kedua-dua pihak mendapat untung dalam situasi menang-menang.

“Pihak bank jangan lepas tangan sebab banyak kes penarik kereta mengatakan mereka mendapat arahan atau kebenaran daripada bank untuk berbuat demikian.

“Ada bank yang lambat memaklumkan kepada penarik kenderaan bahawa kereta itu sudah dibayar dan itu antara masalah yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hisham menggesa KPDNHEP mengeluarkan statistik individu memiliki permit itu.

“Rata-rata kes berlaku membabitkan penarik kereta mendakwa tidak memiliki permit.

“Oleh itu, apa tujuan sebenar permit itu dikeluarkan oleh KPDNHEP? Adakah orang ramai tidak mengetahui kewujudan kad berkenaan?” soalnya.

Pada 31 Julai lalu, satu video tular di media sosial memaparkan sekumpulan penarik kereta yang berlagak samseng dipercayai tidak memiliki permit EPL cuba menarik kenderaan jenis Toyota Avanza ketika berada di lampu isyarat berhadapan Menara Celcom, Jalan Semarak, di sini.

Kejadian itu disedari Nadzim dan pembantunya apabila melihat kenderaan Proton Saga dinaiki tiga penarik kereta memandu dalam keadaan yang mencurigakan apabila beberapa kali cuba menghimpit dan menyekat laluan Toyota Avanza berkenaan.

 

Artikel Oleh : Berita Harian

APA FUNGSI PERMIT EPL?

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/459105/apa-fungsi-permit-epl-nadzim