Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BEKAS ATLET MINTA BANTUAN PPIM – HARIAN METRO – 18/8/18
18 Aug 2018

METROO-01

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membela nasib mereka yang dianggap tertindas.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM terpanggil untuk membela nasib bekas atlet kerana sebahagian mereka adalah ahli PPIM.

“Justeru, satu memorandum khas sudah disediakan dan akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secepat mungkin untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama bekas atlet 110 meter lari berpagar negara, Zulkifli Mohd Yatim, pemain sepak takraw, Datuk Husainay Hashim, atlet 400m lari berpagar, Shamimi Salvarani Abdullah dan Anita Ali (4x100m).

Sementara itu, Zulkifli berkata, tujuan beliau dan rakan lain meminta bantuan PPIM untuk membantu mereka menyuarakan tidak puas hati ke atas pengerusi dan jawatankuasa YAKEB yang tidak mengurus takbir yayasan itu secara baik sehingga memudaratkan bekas atlet.

“Ingin saya tegaskan saya tidak mahu jawatan dalam YAKEB. Saya cuma mahu angin perubahan baharu dalam yayasan ini. Jika sembilan tahun lalu di awal penubuhan YAKEB, yayasan ini mampu mencari dana sendiri sehingga RM5 juta, mengapa tidak sekarang.

“Apa yang dilakukan oleh orang atas YAKEB sehingga mereka tidak cukup dana untuk membiayai bekas atlet? Inilah sebabnya saya terpanggil untuk menghantar memorandum ini.

“Jangan jadikan bekas atlet ini seperti habis madu sepah dibuang. Kalau beginilah layanan yang diterima oleh bekas atlet, saya bimbang ia akan mewujudkan persepsi tidak sihat dalam sukan negara,” katanya.

Beliau menegaskan kini sudah tiba untuk bekas atlet sepertinya bersuara bagi memastikan bahawa satu perubahan drastik dapat dilakukan bagi menyelamatkan YAKEB.

“Kami bukan peminta sedekah yang mahu meminta dan menyusahkan kerajaan.

“Kami ada pejuang dan diharapkan dengan tertubuhnya kerajaan baharu ini, suara dan rintihan kami ini akan didengar. Kami mahukan kepimpinan yang baharu untuk menghidupkan semula YAKEB dan memohon campur tangan menteri agar penyelesaian dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Masalah dalaman YAKEB semakin runcing apabila yayasan itu menghentikan program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mulai Rabu lalu susulan kehabisan dana.

 

Artikel Oleh : Harian Metro

BEKAS ATLET MINTA BANTUAN PPIM

https://www.hmetro.com.my/arena/2018/08/368963/bekas-atlet-minta-bantuan-ppim