Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Berita Harian Online | Logo halal lebih ‘mahal’ daripada nilai produk
24 Dec 2010

Berita Harian Online | Logo halal lebih ‘mahal’ daripada nilai produk

LOGO halal yang tidak diiktiraf JAKIM dibuang dalam operasi di restoran di ibu negara. – Gambar hiasan
UMUM melihat penggunaan logo dan sistem pensijilan halal semata-mata untuk kepentingan pengguna Melayu Muslim di negara ini membuat pilihan barangan di pasaran tanpa ragu-ragu.
Namun, selepas diperkenalkan hampir 10 tahun, perkembangannya amat mengejutkan kerana perkataan halal bukan lagi menjadi milik mutlak etnik Melayu Muslim bahkan semakin berkembang di persada antarabangsa.
Komuniti peniaga kebanyakan bukan Islam mula sedar kepentingan halal dan memohon supaya produk barangan mereka diberikan pengesahan halal. Perubahan ini memecah tembok sempadan perbezaan agama dan budaya yang menganggap piawaian halal hanya untuk penganut Islam.
Begitu juga, pemilik industri dari Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, Australia dan New Zealand, yang membuat pelaburan besar di negara ini. Di Asia, Jepun dan Thailand juga mementingkan aspek ini.
Mereka menjadikan logo halal sebagai alat pemasaran untuk memenangi hati pengguna. Statistik 2010 menunjukkan 74.7 peratus pemegang sijil halal Malaysia adalah bukan Bumiputera untuk kategori produk, premis makanan dan rumah sembelihan.
Jumlah keseluruhan pemegang sijil halal Malaysia bagi 2008-2010 (sehingga Oktober) ialah sebanyak 3,889. Jumlah ini dijangka meningkat selepas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka berkuatkuasa tahun depan.
Golongan pengeluar meletakkan nilai logo halal pada barangan mereka lebih mahal dan bernilai berbanding produk dikeluarkan. Ada berpandangan, tanpa logo halal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan/ Majlis Agama Islam, sukar untuk memasarkan produk.
Malah, dalam keadaan tertentu pengguna akan mempertikaikannya. Kini halal menjadi nilai komersial yang penting mengatasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.
Kita mungkin tertanya mengapa logo halal dikeluarkan di negara ini digandingkan dengan perkataan Malaysia, iaitu Halal Malaysia. Pada perspektif syarak, perkataan halal sudah cukup sebagai penunjuk aras barangan itu dibenarkan atau harus digunakan dari segi hukum, keselamatan dan mutu.
Inilah keunikan di Malaysia. Sebelum penandaan halal menjadi faktor penting dalam dunia perniagaan hari ini, sensitiviti halal sudah tertanam kukuh dalam kebudayaan masyarakat Islam terutama bagi sumber makanan dan produk barangan gunaan harian.
Namun, penggunaan bahan dan barangan ringkas lebih-lebih lagi dalam produk makanan pada masa lalu menyebabkan pelabelan ini tidak dipandang penting berbanding hari ini. Tambahan, pengetahuan dan kesedaran masyarakat Islam terhadap kandungan bahan mentah tidak begitu diberi perhatian.
JAKIM sebagai badan penyelaras pensijilan halal di Malaysia sudah memperkenalkan logo halal Malaysia yang standard bagi menjawab segala persoalan kerana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut mengeluarkan logo halal masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri.
Sebagai panduan kepada pengguna, logo dikeluarkan secara rasmi kepada premis pemohon ialah berwarna hitam pekat. Bagi memudahkan pihak pengeluar, mereka dibenar menggunakan warna lain mengikut produk dihasilkan asalkan tidak sedikitpun merubah spesifikasi logo asal.
Dengan penggunaan satu logo mulai 2007, maka secara langsung logo lama yang masih beredar di pasaran tercatat perkataan JAKIM, JAIN atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dijangka akan dihapuskan secara berperingkat.
Tujuan utama pengenalan logo ini untuk penyelarasan selain menghapuskan penggunaan logo halal palsu dan sebarang logo halal yang tidak disahkan pihak berkuasa negara Islam. Logo halal digunakan premis tanpa pengesahan rasmi JAKIM/JAIN tidak boleh dipertanggungjawabkan sungguhpun penggunaannya tiada sekatan dari sudut perundangan.
Pembentangan Bajet 2010 membuktikan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menitikberatkan perkhidmatan dan produk halal kerana Malaysia kini dikenali di mata dunia sebagai hab makanan dan produk halal.
Bagi tujuan itu juga, JAKIM bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan untuk mempertingkatkan keupayaan sistem pensijilan halal dengan penyeragaman mekanisme pensijilan halal mematuhi standard dan prosedur mengikut keperluan ISO/IEC Guide 65.
Malaysia menerusi Jabatan Standard Malaysia juga menerbitkan standard halal MS1500. Selain itu, latihan juga diberikan kepada juruaudit dan panel pengesahan halal negeri di samping pendedahan mengenai aplikasi sistem e-halal.
JAKIM bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian Malaysia (JPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Halal Development Corporation (HDC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan badan pengguna serta pihak industri memainkan peranan penting dalam standard ini.
JPV bekerjasama dengan JAKIM memberi khidmat kepakaran teknikal dari sudut syarak bagi menentukan status halal daging dan produk berasaskan daging yang diimport.
Sehingga kini, sebanyak 50 badan Islam dari 24 buah negara mendapat pengiktirafan Malaysia malah tahun ini saja, JAKIM menerima 18 permohonan baru Badan Pensijilan Halal Luar Negara.
JAKIM tidak keseorangan dalam menguruskan pensijilan halal kerana HDC yang bertanggungjawab membangunkan industri halal dan mempromosikan halal di persada dunia turut membantu. Sebagai pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan pengguna, PPIM berperanan menyebarkan maklumat berhubung isu halal kepada umum.
JAKIM akan mempertingkatkan kerjasama dengan Jabatan Kimia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT), universiti dan semua pemain industri halal untuk memastikan pensijilan halal dikendalikan dengan cekap.
Penggunaan logo halal tidak lagi dipandang enteng tetapi berubah menjadi keperluan pihak industri pengeluar produk makanan dan barangan gunaan. Menerusi elemen halal, kerajaan berjaya menggalakkan persaingan perniagaan dan memastikan produk lebih berkualiti serta meyakinkan.
Sebenarnya kita tidak boleh memisahkan halal daripada sumber atau puncanya. Hanya pengguna yang bijak menggunakan hak akan memilih perkhidmatan produk halal yang sememangnya terjamin dari aspek keselamatan dan kebersihan seiring moto ‘Halal Malaysia Jaminan Terpilih’.
Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)