Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERITA : MUKA HADAPAN UTUSAN MALAYSIA 080212 : WUJUD AKTA KHAS IKLAN
08 Feb 2012

Wujud akta khas iklan

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kerajaan digesa mewujudkan akta yang mewajibkan setiap iklan terutama berkaitan produk makanan dan minuman supaya mempamerkan logo halal.

Desakan itu dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berikutan lambakan produk yang diiklankan terutama menerusi kaca televisyen ketika ini tidak diketahui statusnya.

Apa yang membimbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit adalah sikap pengguna di negara ini yang disifatkan sebagai belum cukup ‘bijak’ untuk menilai sesuatu produk itu sendiri.

Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah berkata, hanya tindakan penguatkuasaan mampu memastikan semua pihak terbabit dalam menerbit atau menyiarkan iklan lebih peka terhadap sensitiviti pengguna Islam.

“Industri halal yang mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perlulah mempamerkan logo halal pada setiap iklan yang disiarkan di media massa.

“Bagi produk makanan yang tidak mempunyai logo halal pula, kenyataan seperti ‘produk ini tidak mempunyai pengesahan halal daripada Jakim’ perlu dinyatakan dengan jelas,” katanya berhubung aspek utama yang perlu dimasukkan di dalam akta khas tersebut.

Mustaffa yang ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini berkata, adalah penting untuk kerajaan menggubal akta khas itu bagi memastikan pemain industri yang memandang ringan perkara tersebut dikenakan hukuman setimpal.

“Mengambil contoh satu produk minyak sapi QBB Pure Ghee yang ditarik balik pensijilan halal pada 2010, namun ia terus diiklankan di kaca televisyen tanpa disedari pengguna tentang status produk tersebut pada masa itu.

“Hal sebegini terjadi kerana tiada pemantauan pihak kerajaan serta tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap syarikat mengiklankan produk itu,” katanya.

Memandang serius perkara tersebut, PPIM kata Mustaffa, telah menghantar cadangan kepada Jawatankuasa Pemantau Iklan yang terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memastikan gesaan tersebut diketahui di peringkat akar umbi.

Pada masa sama, katanya, PPIM berharap Kementerian Dalam Negeri dapat melibatkan persatuan pengguna sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Penapisan Filem bagi melakukan pemantauan dengan lebih tegas untuk memastikan tiada lagi iklan mengelirukan terutamanya berkaitan dengan produk makanan.

Sementara itu, menurut Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, penggubalan akta khas penting berikutan pada masa ini, syarikat pengiklan hanya terikat dengan Kod Amalan Periklanan Malaysia sahaja.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan undang-undang yang boleh dikenakan kepada syarikat melanggar kod tersebut kerana ia hanyalah garis panduan untuk pengiklan, agensi pengiklanan dan media semata-mata.

Kata Mohd. Yusof, pengiklan yang tidak bertanggungjawab dengan mudah akan memperdayakan pengguna.

“Sekiranya terdapat iklan menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini contohnya, hanya agensi media menyiarkan iklan tersebut dikenakan tindakan.

“Sebaliknya, pengiklan dan agensi pengiklanan terbabit terlepas begitu sahaja. Sehubungan itu, FOMCA berharap hukuman lebih menyeluruh dan tidak berat sebelah adalah perlu,” katanya.

Sumber
http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2012&dt=0208&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm&arc=hive