Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERITA PPIM : PENGGUNA DIPERGUNA! DIBANKRAPKAN KERANA SIKAP TAMAK DAN KECUAIAN PIHAK TERTENTU
23 Nov 2011

Komplot Penipuan Antara Pemaju, Arkitek Dan Bank?
Komplot jahat antara pihak bank, pemaju perumahan dan syarikat perunding arkitek untuk menipu serta menganiaya para pembeli rumah.
Menurut Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, banyak pembeli yang telah menjadi mangsa komplot ini di mana pihak bank telah membayar wang kepada pemaju untuk projek-projek perumahan yang terbengkalai dengan kelulusan syarikat perunding arkitek.
“Salah satu projek yang dimaksudkan ialah projek perumahan yang dibangunkan oleh Syarikat Simpulan Cemerlang Sdn Bhd di Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Tunku Azwil berkata, pihak bank telah memaksa pembeli rumah untuk membayar kembali wang tersebut sedangkan tiada satu pun rumah yang dibina melainkan sebatang tiang yang terpacak di lokasi projek perumahan kondominium tersebut.
Lebih malang lagi, projek perumahan tersebut sebenarnya tidak pun mendapat kelulusan dari pihak berkuasa, Majlis Perbandaran Klang, manakalah pemaju perumahan yang itu juga telah diisytiharkan muflis dan gulung tikar.
Beliau menyifatkan tindakan pihak bank yang memburu pembeli rumah itu sebagai tidak berperi kemanusiaan, tidak wajar dan lebih teruk dari ‘Ah Long’, sedangkan rumah tersebut tidak pernah siap.
Beliau turut mempersoalkan tentang tindakan pihak bank yang meluluskan pinjaman projek perumahan tersebut meskipun tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dan membuat pembayaran kepada pemaju tanpa mengkaji status projek itu terlebih dahulu.
Menurutnya lagi, seramai 1242 orang pembeli yang terbabit bagi projek tersebut terdedah kepada tindakan mahkamah di mana 19 orang antara mereka telah dimufliskan oleh pejabat insolvensi manakala seramai 290 orang pembeli lagi telah disenarai hitamkan.
Seorang pembeli yang didakwa menjadi mangsa projek perumahan itu, Ahmad Zaki Samuri, beliau turut terdedah kepada status muflis setelah diheret ke mahkamah oleh pihak bank sedangkan rumah yang dibelinya itu tidak wujud sama sekali.
Meskipun beliau telah membuat laporan polis dan mengadu kepada pelbagai pihak termasuk Bank Negara, tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Tunku Azwil menegaskan bahawa, selain merujuk kepada bahagian perundangan PPIM, permasalahan ini akan dipanjangkan juga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya perlu.
Sumber:http://mynewshub.my/2011/11/23/komplot-penipuan-antara-pemaju-arkitek-dan-bank/