Kini, walaupun 19 tahun sudah berlalu, Riana menjadi mangsa keadaan kerana statusnya masih tergantung dan tidak memiliki kad pengenalan.

“Hampir enam tahun saya berulang alik untuk mendapatkan hak saya, tapi sehingga kini permohonan saya ditolak dan saya masih buntu.

“Hal ini turut menyukarkan saya untuk mendapatkan pendidikan.Saya hanya boleh mengambil sijil SPM, tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti berikutan status saya yang masih tergantung,” katanya.

Menurut Riana, bapanya merupakan warganegara Malaysia yang berasal dari Sarawak, manakala ibunya merupakan warganegara Filipina.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, satu kaedah perlu dilaksanakan dalam mengatasi isu warga tidak mempunyai kewarganeganegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

“Satu dokumen sementara perlu diberikan kepada golongan ini supaya hak mereka terjamin atas dasar kemanusiaan dan jika tiada inisiatif yang diambil ini bermakna kita menzalimi hak kemanusiaan mereka.

“Dalam perlembagaan Malaysia sendiri ada memperuntukkan hak kemanusian kepada semua orang dan mereka ini juga berhak mendapatkan hak yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas mengenai isu bukan kewarganegaraan di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa, Dr. Norazman Mohd.Shamsudin, Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia, Zamri Zaimon dan Setiausaha Jeneral  Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, walau apa pun status mereka, golongan ini perlu ada identiti dan kadang kala identiti mereka ini tidak diperakui dan proses untuk mendapatkan status kewarganegaraan amat memeritkan dan mengambil tempoh yang lama.

Sehingga kini, Nadzim berkata lebih 15,000 penduduk di Sabah antaranya Lahad Datu berdepan dengan status tidak memiliki kewarganegaraan berikutan tiada kaedah berkesan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencari penyelesaian bagi menangani isu berkenaan dan sekiranya ia dibiarkan, ini dilihat sebagai menzalimi hak asasi mereka. -UTUSAN ONLINE