Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CAJ PENCEMARAN WAJAR DITANGGUNG PENIAGA, PENGGUNA – SINAR HARIAN – 13/3/19
13 Mar 2019

Sinar ( caj pencemaran wajar ditanggung peniaga, pengguna ) 13.3.19-01

KUALA LUMPUR – “Caj pencemaran wajar ditanggung bersama antara pengguna dan peniaga secara seimbang, tanpa perlu meletakkan bebanan tanggungan hanya kepada satu pihak sahaja,” kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berpandangan caj pencemaran sebanyak 20 sen tidak sepatutnya ditanggung pengguna sahaja sebaliknya peniaga juga perlu menanggungnya kerana memperoleh keuntungan daripada hasil penjualan beg plastik tersebut.

“Sewajarnya peniaga itu sendiri yang menanggung caj pencemaran, tetapi kerana kerajaan ingin menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna, jadi saya fikir tidak salah caj tersebut dikongsi antara mereka.

“Saya mengambil contoh keadaan semasa iaitu peniaga kini menyediakan penyedut minuman selepas ia tidak boleh digunakan lagi, dan keadaan ini juga harus berlaku dalam isu plastik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, pembahagian caj tersebut boleh dibuat sama ada pembayaran secara separuh iaitu 10 sen peniaga dan 10 sen pengguna atau mana-mana kaedah yang bersesuaian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan mengenakan caj pencemaran 20 sen untuk penggunaan beg plastik biodegradasi di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac ini.

Langkah tersebut bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai perbelanjaan kerajaan membersihkan pencemaran sisa plastik selaras Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 sekali gus berupaya memupuk kesedaran mengenai inisiatif hijau dan menjamin kelestarian alam sekitar.

Sementara itu Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman menyifatkan langkah mengenakan caj itu sebagai alternatif untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna dengan penggunaan beg biodegradasi yang dikatakan mudah dilupuskan dan mesra alam sekitar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya kerajaan serius menyelesaikan masalah penggunaan beg plastik ini, keputusan drastik perlu dilaksanakan seperti mengharamkan penjualan beg plastik dan mewajibkan pembeli menggunakan beg kitar semula.

“Saya tidak lihat bentuk kesedaran melalui mengenakan caj penggunaan beg plastik ini dapat menyelesaikan masalah kerana di Selangor yang sudah dua tahun melaksanakan kaedah itu, pengguna dilihat bersedia untuk membayar jika tidak membawa beg kitar semula ketika membeli belah,” katanya.- Bernama

 

Artikel oleh : Sinar Harian

CAJ PENCEMARAN WAJAR DITANGGUNG PENIAGA, PENGGUNA

https://www.sinarharian.com.my/article/17752/BERITA/Nasional/Caj-pencemaran-wajar-ditanggung-peniaga-pengguna