Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, apa sahaja langkah yang dapat meringankan kos sara hidup sudah tentu akan di­sambut baik oleh golongan pengguna.

 “Sistem tol di banyak jalan raya dan lebuh raya terutama­nya di Lembah Klang memang membebankan pengguna jadi harapan pastinya menggunung untuk melihat pemansuhan tol ini menjadi realiti pada masa hadapan.

“Namun begitu, kerajaan ha­ruslah mencari formula berkesan dan mengkaji secara teliti supaya pemansuhan lebih banyak tol ini kelak tidak pula membebankan rakyat dalam aspek yang lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau me­ngulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang memberi gambaran kerajaan pimpinannya bersedia untuk memansuhkan tol di jalan-jalan di negara ini pada masa depan.

Perdana Menteri secara peri­badi mengakui bahawa beliau sendiri tidak suka kepada sistem bertol dengan menyifatkannya sebagai ‘me­nyakitkan hati’ dan menyebabkan berlakunya ke­sesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, tambah Nadzim, hasrat untuk memansuhkan tol di jalan-jalan di negara ini kelak perlu dilihat di dalam skop yang lebih meluas dan diharap dapat turut mengurangkan dari segi kos aspek berkaitan yang lain.

“Jika tol dimansuhkan, saya harap kos pengangkutan juga akan menjadi lebih murah. Tidak akan lagi kede­ngaran selepas ini peniaga-peniaga menaikkan harga barang dan makanan secara sesuka hati dengan alasan perlu menampung kos tol di jalan raya dan lebuh raya yang meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pre­­siden Kongres Ke­satuan Sekerja Ma­laysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, di peringkat awal, penyediaan jalan-jalan dan lebuh raya bertol adalah bertujuan menjadi laluan alternatif kepada pengguna untuk mendapatkan kemudahan yang lebih selesa dan pantas ke tempat yang dituju.

“Namun hari ini, hasrat tersebut dilihat sudah tidak lagi berkesan memandangkan kebanyakan jalan raya dan lebuh raya bertol juga sesak dengan kenderaan dan tidak lagi memberikan keselesaan kepada penggunanya.

“Pemansuhan lebih banyak tol kami sambut baik kerana sudah tentu manfaat dalam mengurangkan beban dapat diterima secara terus oleh pengguna.

Namun daripada satu sudut lain, saya mengharapkan kerajaan untuk meneliti sebaiknya cadangan tersebut kerana di beberapa kawasan, lebuh raya bertol masih lagi diperlukan sebagai laluan alternatif,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

CARI FORMULA TERBAIK MANSUH TOL

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cari-formula-terbaik-mansuh-tol-1.615997#ixzz58BhJV15S
© Utusan Melayu (M) Bhd