Presiden
Encik Mohd Yusop Haniffa
Setiausaha Agung
Dato’ Dr. Ma’amor Osman
Bendahari
Encik Mohd Noor Ibrahim
Pegawai Kerja
Encik Mustaffa Hamzah
Ahli Jawatankuasa
Encik Zulkefli Mohamad
Encik Che Kamarul Wzaman Che Haron
Encik Azahari Ibrahim
Encik Mazlan Jalil
Petugas-petugas Khas
Tg Faedzah Raja Fuad (Setiausaha Sulit)
Izham Nayan (Pengarah Latihan)
Muhammad Zharif Johor (Biro Keahlian dan Jaringan Keahlian)
Afif Johor (Biro Aduan Pengguna dan Siasatan)
Zainual Rashid (Aktivis)
Imran Yusof (Unit Tindakan Khas)
………………………………………………………………………………
PROFIL KETUA AKTIVIS PPIM
Nama: Nadzim Johan
Lahir: 17 Februari 1960
Asal: Kuala Kangsar, Perak
Orangnya memang lantang bersuara dan memberi pendapat. Dalam banyak keadaan, suaranya yang lantang dan tegas sememangnya dihormati kebanyakan pihak selain ditakuti lawannya.
Kerana kelantangannya, ramai menganggap beliau serius dan garang. Namun, bagi yang mengenali individu ini apatah lagi bertemu dengannya, personaliti lelaki ini sebenarnya sangat berbeza.
Ini kerana beliau cepat mesra dengan sesiapa saja walaupun kali pertama bertemu, malah layanan diberi bagaikan sudah lama mengenali seseorang itu.
Itulah sisi berbeza Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, 53, yang hanya diketahui individu yang pernah bertemu dengannya.
Biarpun dalam media suaranya lantang mempertahan serta menyuarakan hak pengguna selain riak wajah serius, nyata ia tidak mencerminkan sifat peribadinya.
Malah, ketika ditanya mengenai personalitinya yang berbeza, beliau mengakui ia sememangnya bersangkut paut dalam bidang kepenggunaan yang diceburinya.
Bidang yang saya ceburi memerlukan saya mesra dengan sesiapa saja kerana individu di dalamnya mencerminkan keadaan persatuan ini.
Kerana kita menawarkan khidmat pertolongan, semestinya juga kita mesti mesra dengan sesiapa saja.
Namun dalam masa sama, kita kena tonjolkan kepada pihak yang menindas bahawa kita bukan jenis mudah ditindas.
Kita serius untuk menangani penindasan dan reaksi kami jelas memberi gambaran bahawa kami memandang serius setiap aduan diterima, katanya yang mengakui minatnya dalam bidang kepenggunaan didorong sejak kecil oleh arwah bapanya.
Nadzim yang juga antara pengasas PPIM berkata, sehingga sekarang beliau masih berpegang kepada katakata arwah bapanya supaya membela nasib insan yang lemah serta ditindas.
Kata-kata bapa membawa saya ke dalam bidang ini. Walaupun banyak dugaan dan cabaran hingga menerima pelbagai ancaman, sehingga kini bidang ini menguatkan lagi keperibadian saya.
Malah, walaupun sibuk sepanjang masa, saya puas apabila dapat menolong individu yang memerlukan bantuan akibat menjadi mangsa pihak tertentu, katanya.
Menurut Nadzim, sepanjang hampir 18 tahun berkecimpung dalam PPIM, pelbagai ugutan diterima, termasuk yang mengancam keselamatan diri serta keluarganya.
Namun, setiap dugaan ditempuhi dengan kecekalan, kesabaran dan ketenangan selain mengharapkan perlindungan Allah SWT.
PPIM ditubuhkan bagi membantu menangani serta menyelesaikan masalah di kalangan peng guna Islam. Tidak kisah dalam bentuk apa pun, selagi ia menindas, kami akan bantu.
Kerana itu kami tawakal dan berserah pada Allah. Saya yakin apa pun halangan kami dapat lalui selagi kami berada pada landasan betul, katanya yang menegaskan, usianya yang kini mencecah 53 tahun bukan menjadi alasan untuk berundur daripada bidang itu.
Menyertai PPIM hampir 18 tahun, Nadzim berkata, jiwanya sebati dengan kepenggunaan Islam dan kerana itu juga dia langsung tidak pernah terfikir untuk bersara walaupun usianya meningkat.
Mungkin sudah biasa, jadi memang saya tak pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang ini. Selagi termampu dan ada kudrat, akan saya laksanakan melainkan kesihatan tidak mengizinkan, katanya.
Sama seperti insan lain, Nadzim berkata, beliau bersyukur berikutan isteri dan anaknya memahami tugas digalasnya walaupun boleh dikatakan masanya banyak diluangkan bersama PPIM berbanding keluarga.
Katanya, tanpa sokongan mereka, beliau tidak mampu bertahan sehingga kini dalam bidang berkenaan yang penuh dengan pelbagai dugaan.
Terus terang, saya gembira mempunyai isteri dan anak yang memahami tugas saya. Mereka tidak pernah bersungut bila masa saya banyak diluangkan di PPIM berbanding mereka.
Mereka penguat semangat saya untuk terus bertahan sehingga kini walaupun dalam usia yang kini melebihi 50 tahun, katanya.
PROFIL SETIAUSAHA AGUNG
Nama: Datuk Dr Maamor Osman
Lahir: 13 Mei 1960
Asal: Alor Gajah, Melaka
Pendidikan: Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
Jawatan: Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Dalam dunia kepenggunaan, namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Isu kepenggunaan, terutama membabitkan aspek Islam, memang kuat dengan dirinya yang lantang menyuarakan hak pengguna.
Bukan sekadar memperjuangkan nasib golongan ditindas, malah bagi pengasas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman yang juga Setiausaha Agung persatuan itu, perjuangannya lebih tertumpu untuk memberi kesedaran mengenai tanggungjawab pengguna.
Justeru pada usia mencecah 52 tahun, soal berhenti dalam bidang itu tidak pernah terlintas di fikirannya walaupun tugas dipikul semakin berat dalam peredaran zaman yang kini semakin mencabar dan semakin licik.
Ditanya mengapa masih mahu mencurahkan bakti dalam bidang itu, beliau berkata, ia ada kena mengena dengan amanah sebagai seorang manusia beragama Islam dan minatnya dalam isu kepenggunaan sejak di bangku sekolah.
Manusia diciptakan Allah SWT berbeza dengan makhluk lain. Manusia dijadikan dengan akal dan dengannya ia boleh digunakan untuk menyampaikan perkara yang baik, sesuai dengan ajaran Islam.
Oleh itu, selagi bernyawa dan kesihatan mengizinkan, kita dituntut menabur bakti, terutama dalam isu yang menyentuh soal agama. Asalkan ia baik dan betul di sisi agama, ia adalah dakwah dan wajib bagi sesiapa saja untuk menyampaikannya, katanya.
Berkecimpung dalam PPIM hampir 17 tahun, beliau mengakui PPIM banyak mengajarnya mengenai kehidupan dan pengorbanan. Pengorbanan itu termasuk dari segi masa, keluarga dan kewangan.
Orang kenal saya bermula dari PPIM. Memang betul, tapi bagi saya ia bukan medan untuk mencipta nama dengan mendapatkan publisiti di media cetak atau elektronik. Kalau orang anggap sedemikian, ia memang salah.
Sebenarnya banyak cabaran yang saya lalui dengan PPIM. Ia bukan saja berkisar soal pengorbanan masa dan keluarga, malah saya perlu mengeluarkan sumber kewangan untuk menggerakkan persatuan ini supaya terus berjalan.
Alhamdulillah, walaupun tanpa dana dan hanya menggunakan sumber kewangan sendiri serta sumbangan pihak tertentu, PPIM tetap berjalan demi membantu memperjuangkan agenda Islam, katanya.
Dek sumbangannya juga, Maamor menerima beberapa anugerah di peringkat nasional dan tempatan, antaranya Anugerah Kepimpinan Kategori Kepenggunaan dari Yayasan Insan Melaka, Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Maal Hijrah Selangor dan Anugerah Tokoh Penggunaan Kebangsaan Peringkat Kebangsaan.
Namun, dalam kelantangan mempertahankan perjuangan pengguna Islam, mungkin ramai tidak mengenali tokoh ini dengan lebih dekat.
Bergelar doktor perubatan, sebenarnya sisi kehidupannya memang jauh berbeza. Bukan saja mudah mesra dengan sesiapa pun, malah beliau aktif dalam aktiviti sukan. Antara minatnya ialah berbasikal dan bertinju.
Waktu muda-muda dulu, saya belajar sedikit ilmu pertahanan diri. Namun, bila semakin sibuk dan tak dapat praktikkan seni pertahan diri, saya tukar dengan tinju.
Bila ada waktu lapang di rumah, saya cuba berlatih mana yang boleh. Paling tidak pun, saya tumbuk beg pasir (punching bag) bagi mengeluarkan peluh, katanya.
Menurut Maamor, beg pasir juga menjadi tempat dia melepaskan tekanan selain memastikan dirinya kekal sihat dan cergas.
Turut meminati sukan basikal, beliau mengakui minatnya berputik kirakira dua tahun lalu apabila melihat jiran berbasikal di kawasan perumahannya.
Sukan basikal saya anggap sebagai rakan sosial saya dalam konteks santai tanpa membabitkan soal kerja.
Sejak berjinak-jinak, saya rasa perubahan dalam diri, terutama dalam aspek kesihatan. Walaupun bergelar doktor, saya percaya ini caranya untuk kita membina kehidupan sihat kerana ia bukan sekadar mencergaskan badan, malah membina ketahanan mental, katanya.
Malah, sebagai ketua keluarga, beliau mengakui kesihatan serta pencapaian dimiliki bukan sekadar kerana perjuangan atau minatnya dalam sukan, tetapi kerana diberikan sebuah keluarga yang memahami minat dan tanggungjawabnya.
Saya bersyukur pada Allah kerana sampai hari ini dalam usia mencecah 52 tahun, perjalanan hidup saya terancang dan teratur. Saya gembira kerana isteri dan anak saya memahami keadaan saya sehingga kini, katanya.