Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Elak Risiko Muflis, PPIM Syor Kerajaan Tambah Baik Akta KWSP – PERAK TODAY – 18/4/2017
18 Apr 2017

Kuala Lumpur- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesyorkan agar kerajaan menambahbaikan undang-undang atau akta bagi aspek pengeluaran Akaun 1 bagi pencarum KWSP yang menghadapi masalah kewangan.

Ketua Aktivis PPIM, Dato’ Nadzim Johan berkata, setakat ini persatuan itu menerima lebih 28  aduan berkaitan isu berkenaan golongan itu terpaksa berdepan dengan risiko muflis atau bankrap.

“Ada dikalangan pengadu yang memaklumkan pada kita bahawa simpanan mereka di Akaun 1 KWSP merupakan antara cara terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan seperti hutang dengan pihak bank.

“Kebanyakkan pengadu berdepan dengan bebanan hutang dengan pihak bank namun gagal untuk menyelesaikannya kerana tidak boleh mengeluarkan simpanan di Akaun 1.

“Mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan caruman KWSP mereka walaupun tindakan mereka itu bertujuan untuk mengelak daripada dijadikan muflis,” katanya pada sidang media disini, hari ini.

Nadzim menambah, wang ada di dalam Akaun 1 KWSP sememangnya milik orang ramai namun ia tidak dapat digunakan sebelum tempoh matang.

Susulan daripada itu, PPIM mahu kerajaan mencari pendekatan terbaik yang membolehkan wang di Akaun 1 KWSP dikeluarkan bagi mengelak orang ramai muflis.

“Simpanan itu adalah duit simpanan mereka sendiri dan jika mereka dibankrapkan, ia akan menjadikan kehidupan mereka huru-hara walhal mereka mempunyai hak ke atas wang mereka yang tersimpan dalam KWSP.

“Terdapat juga kes di mana faktor mereka mengeluarkan caruman tersebut adalah bertujuan untuk mengelak daripada rumah mereka dilelong sebelum usianya mencecah 55 tahun,” katanya lagi.

Justeru katanya, PPIM merasakan bahawa kerajaan menerusi Kementerian Kewangan perlu melihat kembali permasalahan tersebut kerana ia boleh dianggap sebagai satu keperluan semasa.

Salah seorang pengadu yang ditemui turut menyatakan bahawa akibat tidak adanya akta atau undang-undang berkaitan pengeluaran wang di Akaun 1 KWSP ia telah menyebabkan dirinya dibelenggu hutang perumahan dengan pihak bank.

Beliau yang sebelum itu pernah merujuk perkara berkenaan dengan pihak KWSP bagaimanapun menemui maklum balas yang mendukacitakan kerana permohonannya tidak dilayan.

“Saya tidak ada cara lain selain mengeluarkan simpanan di Akaun 1 KWSP untuk menyelesaikan hutang rumah saya, kerana jika tidak rumah saya akan dilelong.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pegawai di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan juga KWSP sendiri namun hampa kerana tidak adanya satu akta khas bagi kes seperti saya,” katanya.