Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
FIDGET SPINNER BOLEH JADI SENJATA BERBAHAYA – BERITA HARIAN – 11/5/2017
11 May 2017

berita harian 11.5.2017

berita harian 11.5.2017 2

Gajet fidget spinner yang dijual berleluasa di negara ini perlu dipantau kerana bimbang boleh memudaratkan pemainnya, terutama murid.

Pelbagai pihak, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan kerana gajet itu bukan sahaja boleh mendatangkan kecederaan, malah dieksploitasi menjadi senjata berbahaya dan digunakan untuk tujuan jenayah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun belum berlaku kemalangan di negara ini, ia perlu diawasi kerana sudah berlaku beberapa kes di luar negara pemainnya cedera.

” Apa yang dibimbangkan jika ada pihak tertentu menjadikan  gajet itu sebagai senjata melakukan jenayah,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Nadzim berkata, kerajaan seharusnya menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi meneliti setiap permainan yang dijual di negara ini kerana bimbang boleh menyebabkan kecederaan dan disalahgunakan.

Belum ada badan kawal selia

Di Malaysia, katanya, belum ada badan khas mengawal selia kemasukan dan penjualan permainan.

Gajet itu pada asalnya dicipta dan dipasarkan untuk penghidap sindrom kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD) yang lazimnya tidak berhenti memutar pensil, menggigit kuku, menyusun objek dan mengeluarkan bunyi pelik.

Namun, pengaruh fidget spinner makin membimbangkan apabila penjualannya tidak lagi bagi membantu merawat penghidap sindrom ADHD dan golongan memerlukan, sebaliknya mengundang masalah lain.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, pula berkata gajet itu mencetus kesan fenomena seperti telefon pintar apabila digunakan tanpa pengawasan dan tiada hala tuju tertentu.

” Ia cenderung menggangu tumpuan sehingga menjejaskan pembelajaran murid, justeru patut diawasi jika ada yang membawanya ke sekolah.

” Selain itu, ada video anak muda di negara luar yang “terlebih kreatif” apabila mengubahsuai fidget spinner dengan menyambung bilah alat itu dengan benda tajam sehingga menjadi ikutan remaja serta kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Kementerian Pendidikan perlu mengawasi fenomena fidget spinner supaya tidak menjejaskan sesi pembelajaran, selain mengundang risiko kecederaan pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, berkata langkah pencegahan awal penting bagi memberi panduan kepada warga pendidik dalam menangani penularan fidget spinner.

” Sebelum ini Kementerian ada wartakan larangan penggunaan alat geometri, pisau dan gunting di sekolah yang tertakluk kepada waktu pembelajaran subjek tertentu bagi menangani risiko kecederaan pelajar.

” Langkah sama perlu dilakukan terhadap fidget spinner yang semakin mendapat tempat, khususnya kanak-kanak sehingga mencetuskan kelalaian sepanjang berada di sekolah.

Syor keluar pekeliling

” Kementerian Pendidikan boleh mengeluarkan pekeliling supaya gajet ini hanya diberi pelepasan kepada kanak-kanak tertentu penghidap seperti sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan autisme,” katanya.

Pakar psikologi Fakulti Pendidikan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Hanim Abd Jalal, berkata tanpa disedari, kanak-kanak berdepan ancaman kerana perhatian mereka tertumpu sepenuhnya pada gajet itu, sekali gus membuatkan pemiliknya tidak peka pada persekitaran.