Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GADIS TIADA NEGARA – HARIAN METRO – 27/4/2017
27 Apr 2017

harian metro 27.4.2017

Kuala Lumpur: “Setiap hari saya bawa surat beranak untuk membuktikan bapa adalah warganegara dan saya dilahirkan di Sentul. Disebabkan ibu warga Filipina dan perkahwinan mereka gagal didaftarkan sebelum ini, saya menjadi mangsa keadaan,” kata Riana Mae Christopher Bakar, 29, yang sentiasa hidup dalam dilema kerana statusnya sebagai warga tanpa negara.

Menurutnya, dia mengimpikan kehidupan bebas seperti rakyat Malaysia lain dan dapat melakukan urusan seperti berkahwin secara sah, sekali gus memberi kerakyatan kepada anaknya kelak.

 Selain itu, katanya, banyak urusan lain yang tergendala termasuk melancong ke luar negara.

“Sejak 2010 saya turun naik Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan taraf kerakyatan, namun jawapan mereka tetap sama iaitu permohonan saya ditolak,” katanya.

Mengulas isu itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian khusus mencari alternatif untuk memberi kerakyatan kepada mereka yang betul-betul berhak.

” Kami di pihak PPIM juga terkejut dengan senarai aduan yang terlalu banyak berkenaan masalah warga tanpa negara sehingga ramai warga tanpa negara hidup dalam dilema dan ditindas di negara sendiri.

” Isu warga tanpa negara bukan sesuatu yang baru dan ia sudah sampai ke pengetahuan agensi berkaitan namun sehingga kini masih tiada penyelesaian dan hidup golongan ini seolah-olah terhenti kerana tidak diiktiraf sebagai warganegara.

” Dokumen sementara yang boleh membuktikan golongan ini adalah warganegara mungkin boleh meringankan beban, sekali gus dilihat sebagai alternatif membanteras jenayah dengan lebih berkesan,” katanya apda sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Dr Noorazman Mohd Samsuddin yang banyak memperjuangkan nasib warga tanpa negara khusus di kawasan timur Sabah.

Menurut Noorazman, dia banyak menghabiskan masa memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan kerana gagal mendapatkan taraf kerakyatan dan masalah ini perlu diselesaikan bagi memastikan semua golongan mendapat hak kemanusiaan masing-masing.

” Biarpun kanak-kanak warga tanpa negara diberi peluang untuk belajar sehingga ke peringkat sekolah menengah, mereka tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi di universiti tempatan, katanya.