Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARGA MURAH SABTU, AHAD DI MYFARM OUTLET – UTUSAN MALAYSIA – 4/6/18
05 Jun 2018

Snapshot

 

PUTRAJAYA 3 Jun – Program Jualan Harapan Rakyat Malaysia setiap Sabtu dan Ahad menawarkan pelbagai barangan keper­luan pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran sehingga pembeli boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga RM200 sebulan.

Pengerusi Biro Pertanian dan Industri Asas Tani Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Mohd. Noor Al-Akbari berkata, program itu telah dilaksanakan selama enam bulan dan berjalan secara serentak di 10 lokasi MyFarm Outlet di sekitar Lembah Klang.

 Menurutnya, pengguna boleh mendapatkan bekalan keperluan harian seperti ayam dan pelbagai jenis ikan pada harga yang amat berpatutan kerana barangan berkenaan dibekalkan secara terus kepada penjual tanpa melalui orang tengah.

“Pada hari biasa, sekilogram ayam proses berharga RM8 tetapi melalui program ini yang diadakan di MyFarm Outlet, ayam dijual pada harga RM5.79 sekilogram selain ikan kembung dijual pada harga RM5 sekilogram berbanding RM18 pada hari biasa.

“Harga ini memang murah dan dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40). Pengguna boleh menjimatkan RM50 seminggu dan RM200 sebulan, ini memang berbaloi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd. Noor bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Koordinator Pembekal Program Jualan Harapan Rakyat Malaysia, Datuk Ali Hasan meninjau aktiviti jualan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya di sini.

Menurut Mohd. Noor, beliau juga akan mengadakan perjum­paan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bagi mengutarakan beberapa cadangan untuk memperkasakan Agro Bazaar, pasar tani dan MyFarm Outlet di seluruh negara.

“DPMM juga mahu mencadangkan agar fungsi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diperkemaskan. Kita agak kecewa hari ini kerana FAMA tidak bersama kita. Sokongan daripada agensi itu amat diharapkan bagi memastikan program ini lebih berjaya.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, Jualan Harapan Rakyat Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna kerana program berkenaan menawarkan pelbagai barangan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Artikel oleh : Utusan Malaysia

HARGA MURAH SABTU, AHAD DI MYFARM OUTLET