Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
INI MASA BERTINDAK BUKANNYA TUDING JARI – HARIAN METRO – 24/7/18
24 Jul 2018

metro (24.7.18)

 

Rata-rata rakyat Malaysia ingin lihat isu yang melibatkan harga barangan dan perkhidmatan yang sentiasa mendapat liputan dalam negara kita diatasi dengan segera.

Mereka tidak ingin mendengar mengenai punca berlakunya sebarang peningkatan harga barangan dan perkhidmatan atau isu kenapa harga barangan dan perkhidmatan turun terlalu kecil atau tidak turun langsung

Ini bukan masanya menuding jari kesalahan isu berkenaan kepada mana-mana pihak. Pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil segala langkah perlu dengan segera bagi mengatasi isu berkaitan dengan harga barangan dan perkhidmatan dalam negara dengan segera demi menjaga kepentingan dan kebajikan pengguna dalam negara kita yang masih dibebani dengan masalah kos sara hidup.

Pihak berkuasa serta yang berkaitan dalam negara perlu melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap semua harga barangan dan perkhidmatan dalam negara bagi membanteras kegiatan menaikkan harga secara sesuka hati serta kegiatan pencatutan atau pengambilan untung dengan cara yang melampau dan tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa terdapat kenaikan harga yang berlaku di beberapa restoran tertentu dalam negara kita.

Isu sebegini tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih selepas pihak kerajaan mengumumkan kadar sifar terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun lalu.

Kalau ikut logik, harga barangan serta perkhidmatan sepatutnya menunjukkan kadar penurunan walaupun dengan kadar atau jumlah yang sedikit. Tidak sepatutnya berlaku sebarang kenaikkan harga barangan atau perkhidmatan pasca pengumuman GST pada kadar sifar yang lalu.

Menjadi kebimbangan kini orang ramai menjadi mangsa penipuan sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab yang sentiasa mencari peluang untuk meraih keuntungan segera.

Tidak salah untuk golongan peniaga mendapatkan keuntungan bagi aktiviti peniagaan yang dijalankan mereka. Namun apa yang menjadi salah ialah apabila mengambil peluang dengan  menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan sesuka hati tanpa mematuhi peruntukan undang-undang.

Sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan untuk meraih keuntungan yang melampau serta tidak munasabah boleh ditakrifkan sebagai aktiviti pencatutan.

Bagi peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut tindakan undang-undang perlu diambil melalui Akta Kawalan Harga & AntiPencatutan 2011 (Akta 723).

Menurut seksyen 14(2) Akta terbabit, mencatut bermaksud proses membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah. Seksyen 18 Akta yang sama memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mencatut.

Sekiranya disabit kesalahan, bagi orang perseorangan, denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya akan dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan berikutnya akan dikenakan denda RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya manakala bagi pertubuhan perbadanan atau syarikat akan dikenakan denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan pertama manakala denda sebanyak RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Pihak yang berkaitan dengan isu penguatkuasaan serta pemantauan kawalan harga barangan dan perkhidmatan dalam negara kita seperti agensi penguatkuasaan di bawah KPDNKK, persatuan penguna seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan lain-lain serta anggota masyarakat secara keseluruhannya hendaklah memainkan peranan masing-masing serta bekerjasama bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan terutama harga barangan keperluan asas sentiasa terkawal serta tidak dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

Sebarang aktiviti penawaran harga barangan atau perkhidmatan yang mencurigakan perlu dilaporkan dengan segera kepada pihak berkaitan sama ada melalui talian 03-80008000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC), talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886 -800, aplikasi telefon pintar Ez ADU, e-mel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my, SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNHEP ADUAN <butiran aduan>” ataupun lapor terus atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran.

 

Artikel Oleh : Harian Metro

INII MASA BERTINDAK BUKANNYA TUDING JARI