Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU BOIKOT CALTEX : FADZILAH RANTAI KAKI, PPIM BELUM PUAS HATI – MALAYSIA GAZETTE – 24/11/17
27 Nov 2017

Isu boikot Caltex  Fadzilah rantai kaki  PPIM belum puas hati   MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Selepas gam tangan di lantai, seorang bekas pengusaha stesen minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid hari ini mengikat kakinya dengan rantai besi sepanjang 40 meter di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau juga menutup mulutnya dengan pita pelekat sebagai protes.

Fadzilah yang berjubah dan memakai serban dilihat membawa beg baju sebagai tanda protes malah enggan berganjak dari bangunan KPDNKK sehingga dia dibenarkan bertemu dengan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Fadzilah atau lebih dikenali Haji Boikot Caltex berkhidmat lebih 17 tahun dengan Chevron Malaysia Limited (Caltex) itu didakwa hanya menuntut jawapan daripada KPDNKK disebalik penamatan perkhidmatannya yang didakwa dilakukan secara mengejut dan tidak adil.

Menurut Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim, beliau bersama beberapa NGO Islam lain hari ini ke kementerian terbabit mewakili Fadzilah untuk mengadakan perbincangan.

Katanya, dalam pertemuan empat mata bersama Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Operasi Khas) KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, pihaknya hanya dimaklumkan yang perkara itu akan disampaikan kepada pengetahuan ketua setiausaha kementerian.

“Beliau hanya akan menyampaikan kehendak kita kepada Ketua Setiausaha KPDNKK. Kehendak kita adalah satu perjumpaan tertutup di antara KPDNKK dengan kami.

“Kami anggap KPDNKK sebagai badan penyelesai atau pun mediator kerana timbul pertikaian di antara satu syarikat operator dengan Chevron Malaysia Limited (Caltex),” katanya kepada pemberita di lobi KPDNKK di sini hari ini.

Hadir sama pada pertemuan dengan pihak KPDNKK ialah Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi unit itu, Ali Salimin.

Pada Mei 2017, Fadzilah dan beberapa pengusaha lain menerima notis mengosongkan premis dalam masa 30 hari gara-gara keengganan mereka membayar caj yang tidak sepatutnya dibayar dalam Perlaksanaan Perkhidmatan Layan Diri Di Stesen-Stesen Minyak.

Setelah membuat pembayaran tuntutan yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebanyak RM300,000.00 kepada pihak Caltex, perkhidmatan beliau pula ditamatkan secara tidak adil dan mengejut.

Hishamuddin juga berkata, pihaknya tidak terlibat dengan apa juga tindakan terbaru yang dilakukan oleh Fadzilah dengan mengunci pergelangan kakinya dengan rantai setebal seinci di kaki besi tangga di bangunan kementerian itu.

“Kita PPIM tidak mempunyai kuasa untuk melarang atau kami tidak terlibat dengan ikat kaki ini kerana kami mempunyai keterbatasan.

“Tapi kami akan bersama-sama beliau sebagai solidariti, sokongan dan pemerhati kerana kami tak sanggup nak balik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Berita selanjutnya di http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/11/24/isu-boikot-caltex-fadzilah-rantai-kaki-ppim-belum-puas-hati/