Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU PPIM VS AGR : APA YANG PERLU DIKETAHUI SETAKAT INI – MALAYSIAN DIGEST – 14/07/2017
15 Jul 2017

MD Video  Isu PPIM vs AGR  Apa Yang Perlu Diketahui Setakat ini

Tindakan nekad Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerbu sebuah syarikat pajakan kenderaan, AGR Auto Trade Sdn Berhad (AGR) di Sungai Sekamat, Kajang pada 10 Julai lalu bagi membantu pemilik kenderaan mencetuskan reaksi pelbagai dalam kalangan netizen.

Misi itu yang diketuai Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi bersama 23 mangsa menyerbu syarikat terbabit bagi menuntut wang selepas didakwa ditipu pemilik syarikat, mengakibatkan berlaku kekecohan dan video rakaman kejadian tular di media sosial.

Berikut beberapa fakta dan kenyataan berhubung insiden tersebut yang perlu diketahui orang ramai setakat ini.

Apa dan Siapa?

Yusuf Azmi bersama beberapa individu memasuki pusat pameran kereta milik sebuah syarikat pajakan kenderaan di Sri Kembangan bagi membantu kira-kira 60 pemilik mendapatkan kenderaan masing-masing.

Difahamkan, AGR dimiliki oleh Datuk Seri C Kamaleshwaran. Menurut laporan media, Kamaleshwaran mendakwa mengambil alih syarikat itu daripada pemilik asal pada 1 Mei lalu.

20 orang mangsa telah membuat aduan di PPIM dan mendakwa kenderaan mereka telah disorok dan tiada sebarang bayaran dibuat kepada pemilik asal kenderaan terbabit sehingga mengakibatkan nama mereka disenarai hitam oleh pihak bank.

Bila dan Di mana?

Memetik kenyataan yang dibuat PPIM di laman Facebook pada 11 Julai, sejak bulan Ramadan lagi kesemua mangsa dan pihak PPIM cuba menghubungi AGR bagi mendapatkan maklumbalas mengenai surat pembatalan perjanjian yang dihantar, tetapi tiada sebarang maklum balas diterima.

Berikutan itu, pada 10 Julai lalu aktivis PPIM bersama kesemua mangsa tiba di lokasi pertama AGR di Seri Kembangan sekitar jam 11 pagi bagi mendapatkan semula kunci kenderaan.

Selepas mendapatkan kunci, mereke kemudian bergegas ke Jalan Sungai Sikamat, Kajang bagi mengeluarkan kesemua kenderaan dengan bantuan beberapa buah towing. Operasi disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook berjalan selama lebih 24 jam selepas semua 60 buah kereta berjaya dikeluarkan.

Pemilik kereta didakwa teraniaya dengan skim pajakan kereta oleh syarikat AGR.

Difahamkan, pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan.

Beberapa media tempatan melaporkan, syarikat itu menggunakan modus operandi ‘sambung bayar kereta’ menerusi satu perjanjian yang sebenarnya tidak mendatangkan sebarang nilai kepada pemiliknya.

Semalam, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim dipetik Sinar Hariansebagai berkata, perjanjian sewa beli kenderaan antara 500 pengadu yang melibatkan 1,500 kereta dengan AGR adalah tidak sah.

Ini kerana katanya, kenderaan tersebut adalah di bawah akta sewa beli.

“Ini bermaksud bila ada perjanjian akta sewa beli ini, pembeli tidak boleh menjual kepada pihak ketiga. Sekiranya mereka jual, sama ada diperdaya sehingga wujudnya perjanjian perjanjian sewa beli atau pajakan ia adalah tidak sah,” katanya.

Bagaimana?

Semasa operasi mengeluarkan kenderaan pemilik masing-masing, berlaku kekecohan dipercayai akibat pihak AGR tidak memberikan kerjasama sehingga mencetuskan perbalahan.

Pihak polis tiba di lokasi kejadian bagi meredakan keadaan, sebelum bersetuju untuk membantu PPIM dan mangsa mengeluarkan kenderaan yang disimpan di syarikat itu.

Memetik Berita Harian, satu laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan AGR susulan kekecohan yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata laporan dibuat oleh pengurus eksekutif syarikat itu mendakwa kumpulan pemilik kereta bersama aktivis PPIM memecahkan mangga kunci pada pagar dan menceroboh masuk stor syarikat berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, pengadu dimaklumkan oleh seorang daripada pekerja terdapat sekumpulan individu dipercayai pemilik kenderaan yang dipajak syarikat terbabit datang untuk mengambil kenderaan mereka yang berada di dalam stor.

“Mereka (pemilik kereta dan aktivis PPIM) juga didakwa memasuki kawasan stor tanpa menunjukkan apa-apa notis dari pihak mahkamah,” katanya, seperti dilapor akhbar itu.

Penyelesaian?

Akibat kekecohan yang berlaku, segelintir pihak mengaitkan PPIM dengan kumpulan gangster melayu yang didalangi kumpulan 36 dan 77.

Namun, Yusof Azmi menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa PPIM tidak pernah mengupah atau membayar mana-mana individu atau kumpulan sehingga mencetuskan kekecohan.

“Saya berasa hairan, ada juga individu yang tidak bertanggung jawab menuduh kami mengupah gangster yang terdiri dari kaum melayu, sedangkan orang kampung dan pihak polis yang bersama-sama membantu kami sehingga selesai.

“Ini merupakan tohmahan liar yang sengaja di reka-reka untuk menjejaskan usaha murni kami (PPIM) bagi membela mereka yang teraniaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh dengan pihak polis dan syarikat terlibat dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Kita diberitahu, aktivis kami akan dipanggil pihak polis dalam masa terdekat. Setakat ini belum lagi. Kita akan tunggu perkembangan dari semasa ke semasa.

“Siasatan melibatkan isu pencerobohan, kita perlu selesaikan juga. Kalau tidak kita dilabel sebagai penceroboh, ramailah yang ceroboh lebih 100 orang,” katanya ketika dihubungi sebuah portal berita, semalam.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan berhubung isu pencerobohan gudang menyimpan kenderaan itu akan dijalankan secara menyeluruh tanpa melindungi atau menyebelahi mana-mana pihak.

“Kertas siasatan telah dibuka dan sementara siasatan dijalankan kita minta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

“Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan adil berlandaskan peruntukan undang–undang tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dalam satu kenyataan, kelmarin.

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/686526-video-isu-ppim-vs-agr-apa-yang-perlu-diketahui-setakat-ini.html