Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2717) Jadikan Pembaziran Makanan Satu Jenayah!
26 Jun 2015

Berapa banyak sampah yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia? Cukup untuk memenuhi 42 Menara Berkembar Petronas!

Pada 2005, kira-kira 7.34 juta tan sisa pepejal dihasilkan di Malaysia, cukup untuk memenuhi 42 bangunan yang bersamaan dengan saiz Menara Berkembar Petronas. Penghasilan sisa pepejal dijangka mencapai 30,000 tan sehari pada 2020. Daripada komposisi sisa pepejal itu adalah dianggarkan kira-kira 45% merupakan sisa makanan. (Sumber: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Ini tidaklah mengejutkan memandangkan rakyat Malaysia suka membazirkan makanan. Terlalu banyak makanan yang ditinggalkan di pusat makanan segera, kedai kopi, medan selera, restoran dan di rumah kita sendiri. Malah lebih banyak dibiarkan tanpa dimakan ketika acara rasmi, sambutan hari kelahiran dan majlis perkahwinan.

Pembaziran makanan menjadi masalah apabila masyarakat menjadi semakin mewah. Di Singapura pembaziran makanan mencapai 558,900 tan pada 2008 dan telah meningkat 6.2% sejak 2002. Rakyat Jepun membuang satu per empat makanan yang diperolehi manakala United Kingdom membuang 4.1 juta tan makanan. Di Amerika Syarikat, sehingga 30% makanan bernilai $38.3 bilion dibuang setiap tahun. Rakyat Australia membazir $6 bilion makanan setiap tahun – cukup untuk memberi makan seluruh negara selama tiga minggu.

Terdapat banyak sebab kenapa kita tidak sepatutnya membazirkan makanan. Antaranya adalah:

• Adalah salah dari segi moral untuk membazir makanan kerana masih terdapat ramai lagi orang yang lapar atau mati kerana tidak mempunyai makanan. Menurut Pertubuhan Makanan Sedunia PBB, sekitar 920 juta orang kelaparan di seluruh dunia, satu pertiga daripadanya adalah kanak-kanak.

• Adalah dikatakan bahawa lima peratus makanan yang ditinggalkan oleh rakyat Amerika boleh memberi makan kepada empat juta orang untuk sehari. Makanan yang ditinggalkan oleh orang Perancis boleh memberikan makan kepada rakyat Congo dan orang Itali boleh memberi makan kepada rakyat Ethiopia yang mengalami kebuluran. (Sumber: The Yomiuri Shimbun, 28.07.2008).

• Tidak wajar untuk membayar makanan yang anda tidak makan. Menurut WRAP, pemerhati pembaziran kerajaan UK, isirumah British membuang 20% daripada makanan yang mereka beli walaupun ia masih boleh dimakan. Purata kos pembaziran makanan isirumah ialah ₤420 (RM2,394) setahun.

• Membeli makanan yang tidak dimakan juga memberikan peningkatan permintaan makanan yang tidak benar bagi makanan. Pembelian makanan yang dibiarkan tidak dimakan akan meningkatkan permintaan yang tidak sepatutnya dan oleh sebab itu akan meningkatkan harga serta membebankan pengguna berpendapatan rendah yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk makanan.

• Makanan dari kilang yang dibuang juga bermakna air dan tenaga yang digunakan dalam pengeluaran makanan itu juga dibazirkan dan ini adalah berita buruk bagi alam sekitar.

Contohnya, secawan kopi memerlukan kira-kira 140 liter air yang digunakan untuk menanam, menghasilkan, membungkus dan penghantaran kopi. Sementara itu baju yang diperbuat daripada kokun yang ditanam di Pakistan memerlukan 2,700 liter air (Reuters, 22.08.08).

• Makanan yang reput dan bahan sisa organik lain di kawasan pembuangan sampah menghasilkan gas metana, 20 kali lebih bahaya daripada gas rumah hijau karbon dioksida.

Kita seharusnya menjalankan kempen menentang pembaziran makanan. (UK telah memulakan kempen Love Food Hate Waste pada 2007). Kempen ini seharusnya menggalakkan perancangan makanan yang sempurna, menjimatkan makanan yang ditinggalkan, memesan secara bijak apabila makan di luar dan menggunakan beg kertas untuk membawa pulang lebihan makanan. Kempen ini juga sepatutnya menimbulkan kesedaran kepada pengguna agar tidak melakukan pembaziran sewaktu musim perayaan, sambutan hari lahir, kenduri dan majlis perkahwinan. Semua ini adalah satu langkah yang mudah yang boleh dilakukan dalam jangka masa panjang dalam usaha untuk mengurangkan pembaziran.

Aktiviti membuat kompos mestilah diamalkan oleh isirumah sebagai satu cara untuk mengurangkan sisa yang jika tidak dilakukan akan berakhir di dalam beg sampah.

Di pihak institusi, syarikat dan agensi kerajaan tidak seharusnya berlebihan dalam jumlah makanan yang dihidangkan ketika majlis rasmi atau korporat. Restoran juga perlu mengenakan denda bagi mereka yang membiarkan makanan berlebihan di dalam pinggan mereka. Restoran, kedai roti, dan pasar raya perlu memberikan makanan yang boleh dimakan yang tidak dapat dijual kepada rumah kebajikan atau organisasi yang mengendalikan mereka yang lapar dan melarat. Undang-undang mestilah diperkenalkan untuk menghukum mereka yang membazirkan makanan seperti hotel, kedai makan yang besar dan kantin kilang. Mereka yang melakukan kesalahan walaupun hotel 5 bintang perlu diberi publisiti untuk tidak menggalakkan orang lain melakukannya.

Membuang makanan ketika orang lain kelaparan adalah sesuatu yang tidak beretika dan tidak dapat diterima sama sekali, malah ia membazirkan wang dan membahayakan alam sekitar. Untuk terus membazirkan makanan samalah seperti membuang moral kita ke dalam tong sampah bersama dengan makanan yang tidak dimakan oleh kita.

Ayuh kita perangi pembaziran makanan bermula dari sekarang!

Sumber