Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JANGAN MERUNGUT, LAPOR JE – BERITA HARIAN – 4/1/18
04 Jan 2018

sdf BH ( henti merungut lapor segera harga tak munasabah ) 4.1.18

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya pandai merungut, tetapi mengambil langkah proaktif membuat aduan segera mengenai kenaikan harga barang tidak munasabah.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya hanya boleh mengambil tindakan, termasuk membuat pemeriksaan apabila ada aduan rasmi dibuat.

Katanya, aduan berkenaan adalah prosedur operasi standard (SOP) dasar dan undang-undang kementerian bagi membolehkan pihaknya menyiasat kesahihan aduan.

“Lapor (buat aduan di saluran rasmi) dan KPDNKK akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau mengulas rungutan ibu bapa muda terutama daripada golongan B40 dan M40, yang berdepan kenaikan harga barang keperluan sekolah tidak munasabah serta terlampau tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dijalankan di beberapa premis sekitar negeri berkenaan mendapati, harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30 peratus hingga 40 peratus tahun ini, berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya banyak mendengar rungutan orang ramai mengenai harga barang keperluan sekolah yang naik mendadak, namun tiada yang tampil membuat aduan rasmi.

Yusof turut mencadangkan supaya kerajaan menempatkan peniaga barang keperluan sekolah di bawah satu bumbung untuk mengelakkan perkara itu berulang pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan lama dan tidak berkualiti, dengan mengenakan hukuman wajib beri potongan sehingga 80 peratus.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengesyorkan kerajaan menyediakan sistem atau saluran membekalkan barangan keperluan sekolah pada harga murah dan mampu milik seperti konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Mungkin kerajaan boleh fikirkan untuk bawa masuk barang keperluan sekolah import, contohnya dari China. Tempatkan barang berkenaan dalam satu kedai dan jual kepada orang ramai.

“Melalui inisiatif ini, saya yakin bukan orang ramai saja mendapat faedah harga murah, malah tindakan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan mudah,” katanya.

Nadzim turut mencadangkan peniaga tempatan diwajibkan menjalani kursus perniagaan beretika supaya mereka tidak berani menipu pengguna.

 

Artikel Oleh : Berita Harian

JANGAN MERUNGUT, LAPOR JE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/370301/jangan-merungut-lapor-je-hamzah