Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘JASA KALIAN SAYA KENANG UNTUK SELAMANYA…’ – METRO ONLINE – 30/07/2017
31 Jul 2017

Jasa kalian saya kenang untuk selamanya...    Harian Metro

“TERIMA kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga saya dengan menyalurkan bantuan kewangan.

“Saya akan kenang selama-lamanya. Terima kasih kepada wakil rakyat, Harian Metro dan PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) yang sudi mendengar rintihan saya,” kata Abdul Halim, bapa kepada enam anak yang menghadapi masalah kewangan sebelum ini.

Dia menerima kunjungan Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk P Kamalanathan hari ini yang menghulurkan bantuan segera untuk mengurangkan beban keluarga itu.

Katanya, sejak kisah kesusahannya disiarkan Harian Metro Isnin lalu, dia dihubungi banyak pihak yang prihatin dan simpati dengan masalah kewangan dihadapi sehingga diminta mengosongkan rumah sewanya.

“Alhamdulillah, ramai yang bantu menerusi PPIM. Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk keselesaan keluarga selepas ini. Terima kasih juga kepada Datuk Kamalanathan yang membantu,” katanya.

Sementara itu, Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, pihaknya meneliti laporan Harian Metro dan tampil membantu keluarga Abdul Halim yang memerlukan perhatian segera.

Katanya, selain bantuan kewangan, dia juga meminta pegawainya untuk mencari rumah sewa baru kepada Abdul Halim untuk memulakan hidup baru.

“Saya juga difahamkan dua anaknya diberhentikan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa kerana ponteng yang berpunca daripada kesusahan keluarga.

“Itu juga saya akan bincangkan dengan sekolah supaya mereka dapat bersekolah semula dan tidak tercicir daripada mendapat pendidikan,” katanya.

Isnin lalu, Abdul Halim tampil di pejabat PPIM, merayu bantuan untuk mendapatkan wang segera kerana perlu keluar daripada rumah disewanya yang mempunyai tunggakan bayaran selama tiga bulan.

Berita selanjutnya di https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/07/249017/jasa-kalian-saya-kenang-untuk-selamanya