Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KAJI PENGELUARAN BAYAR HUTANG – PPIM – UTUSAN MALAYSIA – 19/4/2017
19 Apr 2017

utusan malaysia 19.4.2017

KUALA LUMPUR 18 April – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan untuk membayar hutang bagi mengelak daripada diisytihar muflis.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, wang caruman tersebut dapat digunakan oleh pengguna bagi tujuan membayar hutang dan menyelamatkan rumah daripada dilelong sebelum usia mencecah 55 tahun.

Katanya, mengikut peruntukan akta, wang simpanan KWSP hanya boleh dikeluarkan apabila pencarum mencecah 55 tahun bagi kegunaan semasa usia tua dan tidak boleh dikeluarkan selagi tidak cukup tempoh.

“Ini kerana, lebih daripada 20 aduan yang diterima mengatakan bahawa mereka tidak dibenarkan mengeluarkan caruman KWSP walaupun bertujuan untuk mengelak daripada diisytiharkan muflis.

“Akta tersebut perlu dikaji semula dan peruntukan baharu harus dilaksanakan bagi membenarkan individu terdesak mengeluarkan wang simpanan sebelum tempoh matang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Nadzim memberitahu, setiap individu mem­punyai hak untuk menggunakan wang simpanan KWSP mereka apabila keadaan terdesak dan ini bagi mengelakkan kehidupan seseorang itu kucar-kacir.

“Sekiranya wang simpanan KWSP tersebut tidak dapat dikeluarkan, seseorang itu mungkin terpaksa membuat pinjaman ah long yang akhirnya memudaratkan individu tersebut mahupun keluarga mereka.

“Justeru itu, kami merasakan bahawa pihak penggubal undang-undang perlu melihat kembali keperluan ini yang dikira sebagai keperluan semasa,” ujarnya.