Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, wang caruman tersebut dapat digunakan oleh pengguna bagi tujuan membayar hutang dan menyelamatkan rumah daripada dilelong sebelum usia mencecah 55 tahun.

Katanya, mengikut peruntuk­an akta, wang simpanan KWSP hanya boleh dikeluarkan apabila pencarum mencecah 55 tahun bagi kegunaan semasa usia tua dan tidak boleh dikeluarkan selagi tidak cukup tempoh.

“Ini kerana, lebih daripada 20 aduan yang diterima me­ngatakan bahawa me­­reka tidak dibenarkan mengeluarkan caruman KWSP walaupun bertujuan untuk mengelak daripada diisytiharkan muflis.

“Akta tersebut perlu dikaji semula dan peruntukan baharu harus dilaksanakan bagi membenarkan individu terdesak mengeluarkan wang simpanan sebelum tempoh matang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Nad­­zim memberita­hu,­ se­tiap individu mem­punyai hak untuk menggunakan wang sim­panan KWSP me­reka apabila keadaan terdesak dan ini bagi mengelakkan kehidupan seseorang itu kucar-kacir.

“Sekiranya wang sim­panan KWSP tersebut tidak dapat dikeluarkan, seseorang itu mungkin terpaksa membuat pinjaman ah long yang akhirnya memudaratkan individu tersebut mahupun keluarga mereka.

“Justeru itu, kami merasakan bahawa pihak penggubal undang-undang perlu melihat kembali keperluan ini yang dikira sebagai keperluan semasa,” ujarnya.