Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KAJI SEMULA KADAR TOL – UTUSAN MALAYSIA – 11/10/17
11 Oct 2017

Kurangkan beban kos sara hidup rakyat

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Dalam mendepani isu kadar tol yang membebankan rakyat, kerajaan dilihat perlu mengkaji semula kaedah dan cara menangani caj tersebut dalam pembentangan Bajet 2018.

Ketua Aktivis Persatuan Peng­guna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berharap kerajaan memandang isu ini dengan le­bih serius dan mengkaji semu­la perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya serta memasukkannya ke dalam Bajet 2018 nanti.

image

“Kami ada menerima maklu­mat bahawa caj tol boleh dikurangkan dan sekali gus ia boleh menjadi langkah penyelesaian kepada kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya di bandar.

“Kerajaan perlu mengkaji semula keuntungan yang diperoleh oleh pihak syarikat konsesi bagi mengurangkan kos penyenggaraan yang ditanggung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada tahun lalu, kerajaan telah mengambil langkah untuk menangguhkan semua kenaikan tol lebuh raya sehingga akhir tahun ini supaya rakyat tidak terbeban dengan kesan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Katanya lagi, melihat kepada kesesakan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna jalan raya ia membolehkan syarikat konsesi didenda atau sebagai balasannya memberi diskaun kepada pengguna yang melalui lebuh raya yang sesak.

“Walaupun kaedah rebat tol telah dilaksanakan tetapi rakyat masih terbeban dengan kesesakan di lebuh raya malah ia tidak boleh mengurangkan kos sara hidup.

“Kesesakan di lebuh raya me­rupakan satu hal yang tidak seharusnya berlaku kerap kali kerana pengguna membayar kadar tol setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba pula berkata, kadar tol perlu diselaras walaupun tiada kenaikan ke arah itu setakat ini.

“Jika kadar tol diselaras dan dapat diturun, ia dilihat sebagai langkah yang sangat baik dalam keberkesanan mengurangkan beban rakyat yang tinggal di bandar,” katanya.

Tambahnya, ura-ura menyatakan gaji penjawat awam akan dinaikkan juga mampu menampung kos sara hidup rakyat.

Terdahulu, dalam satu kenya­taan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan akan mengkaji permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mahu gaji penjawat awam serta pencen pesara dinaikkan antara dua hingga tiga peratus dalam Bajet 2018.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-semula-kadar-tol-1.536336