Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PERJANJIAN SEWA BELI TAK SAH: PPIM – 13/7/2017
13 Jul 2017

sinar harian 13.7.2017

Kuala Lumpur- Perjanjian sewa beli kenderaan antara 500 pengadu yang melibatkan 1,500 kereta dengan sebuah syarikat pajakan kenderaan yang tular baru-baru ini, tidak sah.

Pengerusi biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, situasi ini berlaku kerana kenderaan tersebut adalah di bawah akta sewa beli.

Beliau berkata, dalam akta sewa dan beli, pihak yang berkontrak adalah pemilik iaitu pihak bank dan pembeli kereta yang dipanggil secara penyewa.

“Ini bermaksud bila ada perjanjian akta sewa beli ini, pembeli tidak boleh menjual kepada pihak ketiga. Sekiranya mereka jual,sama diperdaya sehingga wujudnya pejanjian sewa beli atau pajakan ia adalah tidak sah,” katanya pada siding media,semalam.

Isnin lalu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi bersama 23 mangsa menyerbu syarikat kereta terbabit untuk menuntut wang, yang didakwa ditipu pemilik syarikat menyebabkan berlaku kekecohan dan tular di social media.Pada  hari sama juga, polis menerima laporan daripada syarikat terbabit bahawa stor kenderaan berkenaan di Sungai Sekamat, Kajang telah diceroboh pemilik kenderaan yang dipajak bagi mengambil kenderaan yang berada dalam stor.

Hishamuddin turut mempertikaikan tindakan syarikat terbabit yang mempunyai hak keatas kenderaan-kenderaan milik pengadu.

Beliau  berkata, atas kapasiti apakah syarikat itu menyimpan kereta-kereta tersebut kerana syarikat tersebut bukan pemilik atau penyewa.

“Sepatutnya pihak polis menyiasat syarikat tersebut kerana mereka telah menyimpan barang (kereta) secara curang dibawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat, isu pencerobohan stor oleh PPIM seperti didakwa pemilik syarikat itu tidak timbul kerana serbuan dilakukan bagi membantu pengadu mendapatkan hak mereka.

“Bagi saya, isu ceroboh ini tidak timbul kerana tujuan kita hanyalah bantu pengadu tanpa niat lain, tapi saya tidak nafikan hak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif (pengadu) mengenai kejadian stor syarikatnya di jalan Cheras, Kajang diceroboh oleh sekumpulan individu bagi mengambil kenderaan dalam stor tersebut.

“Polis telah buka satu kertas siasatan dan beri jaminan satu siasatan menyeluruh mengikut undang-undang sedia ada akan dijalankan tanpa melindungi atau menyebelahi sesiapun yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau juga menasihatkan semua pihak agar tidak bertindak sendirian dan membelakangkan undang-undang. Sementara siasatan dijalankan, katanya, polis meminta kerja sama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

“Polis akan jalankan siasatan terperinci, telus dan adil berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa menyebelahi mana mana pihak,” katanya.