Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KETEPIKAN EGO,KUKUHKAN PERUNDANGAN ISLAM-TPM – UTUSAN MALAYSIA – 16/12/2016
16 Dec 2016

NEW UTUSAN MALAYSIA 16.12.2016

PUTRAJAYA 15 Dis – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, umat Islam harus mengetepikan keegoan politik dan perbezaan pendapat dalam usaha memperkukuhkan perundangan Islam yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati akidah dan pega­ngan agama Islam dengan melihat transformasi perundangan Islam di negara ini secara terbuka tanpa meletakkan prasangka dan prejudis.

Ini kerana jelas beliau, transformasi perundangan Islam tidak akan dilakukan di luar acuan atau di luar daripada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan kajian yang terperinci, lengkap dan adil.

“Jika kita (umat Islam) bersungguh-sungguh untuk memperkukuhkan apa yang kita harus perkukuhkan, maka saya tidak fikir kita perlu khuatir dengan apa yang orang lain fikirkan.

“Sama seperti wuduk dan solat, kita tidak perlu tanya orang lain yang tidak sama akidah adakah betul atau tidak wuduk dan solat kita. Jika ada kegusaran, berikan hak untuk menentukan betul atau tidak kepada orang Islam yang lebih berilmu mengikut acuan agama Islam,” katanya merasmikan Multaqa Perun­dangan dan Politik Majlis Perundingan Islam (MPI) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri,

Multaqa Perundangan dan Politik MPI yang berlangsung selama sehari itu merupakan platform untuk semua pihak daripada pelbagai bidang termasuk politik, agensi kerajaan, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan membincangkan dan mencari inovasi baharu dan praktikal untuk kerajaan.