Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
LATIH PENGASUH BERTAULIAH – HARIAN METRO – 13/7/18
13 Jul 2018

pengasuh

WhatsApp Image 2018-07-13 at 11.19.18 AM

Kuala Lumpur: Isu membabitkan pengasuh perlu ditangani secara holistik dengan meneliti semula perundangan dan dasar sedia ada supaya selaras dengan keperluan golongan ibu bapa yang bekerja.

Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Siti Norsuraya Ali berkata, pelbagai perkara perlu diberikan perhatian sekiranya pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak mahu diwujudkan di tempat kerja.

 “PPIM melihat perkara itu sebagai isu sosial yang sangat serius dan perlu ditangani semua pihak kerana ia membabitkan keselamatan anak kecil yang diletakkan di bawah jagaan pengasuh ketika ibu bapa keluar bekerja.
“Sebelum menyelaraskan penubuhan pusat asuhan di tempat kerja, kerajaan dan majikan perlu menyelesaikan masalah sijil kelayakan menduduki bangunan (CF) di pejabat kerajaan mahupun swasta yang belum mendapat perakuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pelbagai masalah teknikal lain seperti logistik.

“Kami juga mengesyorkan pusat asuhan dan jagaan yang bukan saja berdaftar tetapi beroperasi 24 jam untuk mereka yang bekerja mengikut syif dan luar waktu pejabat selain kedudukan lokasi berdekatan hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, keupayaan pengasuh juga perlu diberi penekanan dengan mengambil mereka yang bertauliah saja mengendalikan kanak-kanak.

“Kami melihat latihan kecemasan seperti bantuan pernafasan (CPR) bukan saja perlu diwajibkan untuk pengasuh tetapi juga ibu bapa sebagai bantuan awal sebelum dirujuk ke klinik mahupun hospital.

“Selain itu, pemantauan berkala daripada pihak berkuasa juga perlu dan bukan hanya bertindak jika menerima aduan mahupun apabila berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Mengulas lanjut isu disiarkan muka depan Harian Metro semalam, beliau berkata, PPIM turut menerima sekurang-kurangnya lima aduan dalam tempoh tiga hari lalu membabitkan kes sama yang membuktikan isu pengasuh bermasalah masih gagal ditangani.

“Daripada jumlah itu, tiga kes membabitkan kematian termasuk kes bayi Nur Aisy Mohd Ikhwan dan Abu Zea Ophilea Abu Nain yang disiarkan Harian Metro hari ini (semalam) manakala bakinya cacat kekal dan cedera.

“Selain lima kes itu, kami juga mengumpul maklumat dan mengenal pasti 10 lagi kes berkaitan yang belum mendapat pembelaan sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membawa suara pengadu kepada pihak atasan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan keadilan buat anak mereka.

“Kebanyakan hasil siasatan kes diputuskan Tiada Tindakan Lanjut. Kita mahu tindakan diambil kepada pesalah yang bertanggungjawab menyebabkan kematian dan kecederaan mangsa kerana kes mereka bukan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro

LATIH PENGASUH BERTAULIAH

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/357305/latih-pengasuh-bertauliah