Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, ia disebabkan kelekaan sesaat pemandu serta penunggang yang asyik dengan telefon bimbit boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

 Katanya, lebih membimbangkan apabila bukan hanya nyawa pemandu serta penunggang terbabit sahaja terancam tetapi nasib pengguna jalan raya lain turut diperjudikan.

“Bukan hendak kata penggunaan dadah itu tidak berbahaya berbanding memandu menggunakan telefon bimbit tetapi kalau terjebak dengan dadah kita lihat kesannya kepada individu akan ambil masa dan kita boleh ambil langkah pencegahan serta pemulihan. Tetapi kalau leka dengan telefon bimbit semasa memandu, sama ada jawab panggilan, membalas WhatsApp atau sebagainya, kesannya lebih memudaratkan.

“Sesaat sahaja sudah cukup menentukan hidup atau mati. Lebih teruk apabila pemandu yang leka menggunakan telefon bimbit sehingga menyebabkan kemalangan tidak mengalami kecederaan, tetapi pengguna jalan raya lain yang terlibat pula parah atau meninggal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang mendapati lebih 100 pemandu aktif dikesan menggunakan telefon bimbit dalam tempoh 30 minit pemantauan.

Ditanya sama ada kelakuan itu mempunyai kaitan dengan kelonggaran undang-undang, Nadzim menolak pandangan itu dengan memberitahu bahawa penguatkuasaan sedia ada sudah mencukupi, tetapi masalah besar terletak kepada sikap pemandu serta penunggang itu sendiri.

“Maaf saya berkata begini, tetapi pemandu kita seolah-olah tidak dididik untuk mematuhi, memahami dan bertanggungjawab ketika di jalan raya. Sampah pun mereka boleh buang merata-rata di atas jalan raya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula percaya kelekaan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika berada di jalan raya menyumbang kepada majoriti kes kemalangan di negara ini.

“Bagaimana mahu fokus kepada pemanduan apabila pada masa sama pemandu memberi tumpuan kepada komunikasi menerusi telefon bimbit. Sebab itu kita lihat banyak kemalangan berlaku berpunca daripada kelekaan ini, pemandu tidak memberi tumpuan di atas jalan raya,” ujarnya.

Beliau juga percaya dalam situasi hari ini sukar untuk mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu-lintas dengan tidak menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu atau menunggang motosikal.

Katanya, meskipun pelbagai bentuk program dan iklan yang menekankan bahaya memandu sambil menggunakan telefon bimbit, namun pengguna jalan raya dilihat cenderung mengabaikannya.