Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sewajarnya pihak LHDN memberi penjelasan yang penuh dalam kenyataan yang berkait dengan rakyat ini.

“Setiap kenyataan yang diberikan secara berperingkat sehingga rakyat pun tidak tahu yang mana sahih dan tidak. Fakta kena betul, setiap kenyataan yang diberikan haruslah jelas kerana takut rakyat berfikir negatif mengenai isu ini.

“Kalau isu ini benar, kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin, serta mohon melihat perkara ini dengan penuh kemanusiaan dan memberi kenyataan rasmi yang boleh dikeluarkan oleh kementerian,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Terdahulu LHDN telah menarik balik kenyataan yang dikeluarkan petang ini atas alasan hanya menteri berkenaan sahaja yang boleh memberi penjelasan

Utusan Malaysia semalam melaporkan sebanyak RM10 bilion lebihan potongan cukai pendapatan berjadual yang perlu LHDN kembalikan kepada pembayar cukai belum ditunaikan dan meletakkan agensi kerajaan berkenaan kini berhutang dengan rakyat.

Jika jumlah itu benar, ia akan memberi tekanan kepada kemampuan kewangan negara yang tentunya turut memberi kesan kepada ekonomi negara.- UTUSAN ONLINE