Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Mangsa Penipuan Dalam Talian Harus Tampil Mudahkan Proses Siasatan – BERNAMA – 15/7/2017
15 Jul 2017

Snapshot(2)

KUALA BERANG, 14 Julai (Bernama) — Mangsa penipuan urus niaga dalam talian harus tampil ke hadapan bagi memudahkan proses siasatan terhadap laman jual beli yang didapati menipu pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kebanyakan pengguna yang menjadi mangsa malu untuk muncul dan melaporkan penipuan itu kepada pihak berkuasa.

“Segera laporkan sebarang penipuan terus kepada polis agar ia memudahkan usaha polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sebarang (perkara) teknikal ke atas laman-laman yang menipu ini.

Untuk isu begini, kita akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kesalahan di atas akta yang berkaitan penipuan dalam talian. SKMM hanya akan bertindak apabila sesuatu kes dirujuk secara bertulis kepada kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Pengajian Tahsin Al-Quran Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Jailani merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata terbaharu kini dua laman yang telah disekat di bawah permintaan polis.

Kata beliau, untuk sesebuah laman jual beli dalam talian beroperasi haruslah mengikut dan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang mula dikuatkuasakan KPDNKK pada 1 Julai 2013.

“Pastikan untuk membeli apa jenis produk, alat, kenderaan sebagainya dalam talian..penjual telah berdaftar terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana ia akan memudahkan polis, KPDNKK untuk melakukan siasatan jika berlakunya sebarang kes penipuan,” katanya.

Menurut laporan akhbar tempatan, sehingga kini dianggarkan sebanyak 30,000 aduan diterima sejak tahun lepas oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung penipuan di portal jualan dalam talian.

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1372466