Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MISI SEGAR “KUCING MERAH” – HARIAN METRO – 7/8/18
07 Aug 2018

Metro ( misi segar kucing merah ) 7.8.18

Kuala Lumpur: Bentuk sahsiah diri, disiplin dan silaturahim. Itu fokus Persatuan Kebajikan Kucing Merah Kuala Lumpur (PKKMKL) dalam setiap program kebajikan dianjurkan sebagai usaha membentuk ahli yang dapat memberi sumbangan kepada tanah air menerusi aktiviti kesukarelawanan.

Dengan tema kebaikan kepada masyarakat, persatuan berkenaan sering menyertai gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan tidak mengira masa, tenaga dan wang ringgit.

Presidennya Zulkarnain Abdul Rahman, 32, berkata, PKKMKL yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Mei tahun lalu banyak menggerakkan program bantuan kepada orang susah, miskin bandar dan gelandangan di sekitar ibu negara.

 “Sebelum ini kita bergerak di bawah Persatuan Anak Muda Sekata didaftarkan di bawah pertubuhan belia pada 2011. Kami juga mempunyai cawangan dari negeri lain dan pernah bekerjasama dalam projek berskala besar seperti misi bantuan banjir sebelum ini.

“Alhamdulillah, setakat ini ramai yang sudah dibantu dan kita akan teruskan dengan pelbagai aktiviti termasuk bersama gabungan NGO lain seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan lain-lain kerana ingin menyemarakkan kegiatan yang baik untuk manfaat bersama, ” katanya.

Zulkarnain berkata, dengan ahli seramai 352 orang, PKKMKL turut menyertai Operasi Banteras Aktiviti Harap (Op BAH) yang diadakan di sekitar ibu negara untuk memberi pendedahan bagaimana seseorang aktivis boleh membantu pihak berwajib menjalankan tugas .

Menurutnya, ia dijadikan rujukan berguna kepada ahli kerana selama ini mereka hanya bergerak melalui aktiviti yang disusun atur sendiri dan tidak berpeluang melihat bagaimana koordinasi NGO lain di negara ini.

Katanya, hasil tinjauan turut dikongsi bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan NGO lain bagi mencari jalan penyelesaian membendung masalah sosial di ibu negara seperti penyalahgunaan dadah serta maksiat.

“Kami generasi muda akan mengambil peluang yang diberi kepada persatuan untuk memberi khidmat dalam membantu kelancaran Op BAH .

“Masyarakat juga akan lihat peranan PKKMKL selepas mengetahui matlamat dan hala tuju sebenar persatuan membantu masyarakat dalam memerangi aktiviti haram yang terdapat di seluruh Malaysia.

“Saya juga menggalakkan ahli untuk menjalinkan kerjasama dengan NGO lain kerana fokus kami ialah untuk membentuk generasi yang peka dengan isu semasa kerana kami berada dalam satu jalinan keluarga besar sukarelawan di Malaysia,” katanya.

 

Artikel Oleh : Harian Metro

MISI SEGAR “KUCING MERAH”

https://www.hmetro.com.my/utama/2018/08/365675/misi-segar-kucing-merah