Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NGO GESA TINGKAT STANDARD BATERI SEKUNDER – BERITA HARIAN – 28/6/2017
01 Jul 2017

berita harian 28.6.2017

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa memperluaskan penetapan piawaian atau standard, bukan sahaja kepada power bank, tetapi semua peralatan elektrik menggunakan bateri sekunder.

Akta sedia ada didakwa masih tidak mencukupi bagi melindungi hak pengguna, justeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan produk berkaitan seperti rokok elektronik atau vape, dron dan bateri permainan kanak-kanak diwajibkan memiliki pensijilan SIRIM.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kejadian meragut nyawa dan kecederaan membabitkan penggunaan barangan tidak berkualiti, bukti kementerian wajar menetapkan standard bagi menangani lambakan barangan elektrik tidak berkualiti dalam pasaran.

BAHAYA KEPADA PENGGUNA

Beliau berkata, kebanyakan produk tidak berkualiti mengundang bahaya kepada pengguna kerana ia tidak melalui ujian ketahanan dan keselamatan dari segi saiz dan fizikal yang ditetapkan.

“Ramai tidak mengetahui, peralatan elektrik dan elektronik yang tidak mematuhi piawaian tidak tahan lama serta menyumbang kepada beban sisa berbahaya disebabkan kandungan atau toksik seperti logam berat, kadmium, raksa dan plumbum terkandung di dalamnya.

“Pembuangan sisa peralatan elektrik dan elektronik hasil daripada peralatan rosak juga akan menyebabkan bahan berbahaya itu mencemari tanah dan sumber air,”katanya.

Beliau mengulas laporan BH semalam mengenai tindakan KPDNKK mewajibkan semula pengeluar dan pengedar power bank mendapatkan pensijilan SIRIM dan surat kelulusan KPDNKK sebelum dibenarkan memasarkannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, mengesahkan banyak laporan berkaitan kerosakan barangan elektrik.

Beliau berkata, penetapan standard kepada barangan elektrik terutama alatan teknologi yang menjadi trend pengguna, berupaya melindungi pengguna daripada membeli produk yang membahayakan .

“Jika produk yang dibawa amsuk secara sah ia tidak menimbulkan masalah kerana memnuhi semua peraturan. Yang menjadi masalah, produk dibawa masuk tidak menepati piawaian ditetapkan negara ini.

“Jika penetapan standard terhad kepada barangan tertentu sahaja, ia menyebabkan banyak produk import tidak mematuhi peraturan dijual dalam pasaran dan memberi kesan kepada keselamatan penggunanya,”katanya.

Sementara itu, Menteri KPDNKK, Hamzah Zainudin, ketika diminta mengulas mengenainya, berkata kementerian bersama Jawatankuasa Standard dan Keselamatan Barang-Barang Pengguna akan memperluaskan penetapan standard terhadap lebih banyak produk demi keselamatan pengguna.

Katanya, jawatankuasa yang dianggotai KPDNKK, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia (JSM) itu akan menetapkan standard kepada lebih banyak produk sebelum dibenarkan untuk jualan dalam pasaran.

“Semua produk ini akan diluluskan jawatankuasa ini dahulu sebelum dijual terutama barang yang diimport dari luar negara susulan beberapa kejadian letupan pelbagai peralatan yang digunakan oleh pengguna sejak kebelakangan ini,”katanya.