Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PANGGIL BERBINCANG & TINDAKAN SELEPAS SELESAI SIASATAN – HARIAN METRO – 20/7/2017
20 Jul 2017

HARIAN METRO 20.7.2017

PANGGIL BERBINCANG

Polis mengadakan satu mesyuarat khas Isnin hadapan bagi meneliti lebih 50 laporan polis diterima dan dokumen perjanjian berkaitan isu pajakan kereta di Kajang, Selangor, yang tular baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat itu yang dijangka dihadiri Ketua Polis Selangor, Kuala Lumpur, ketua polis daerah dan pegawai berkaitan yang terbabit serta mempunyai kaitan dengan kes itu.

Menurutnya, dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) polis tidak mengambil tindakan tidak benar kerana pihaknya sedang meneliti semua aspek dan semestinya tindakan sewajarnya diambil.

“Dalam mesyuarat Isnin itu nanti, kami teliti semua laporan polis dibuat pemilik kenderaan dan syarikat, semak perjanjian ditandatangani.

“Kita akan lihat sekiranya berlaku perkara bertentangan dengan undang-undang,” katanya yang akan mengambil tindakan dengan adil.

Noor Rashid meminta pihak berkaitan bersabar dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.

Pada 11 Julai lalu, 30 pemilik kereta dengan beberapa aktivis PPIM dikatakan menceroboh dan memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat AGR Trade Sdn Bhd untuk mengambil kenderaan masing-masing yang disewa pajak sehingga berlaku kekecohan.

Susulan kekecohan itu, seorang pengurus eksekutif syarikat terbabit membuat laporan polis manakala pemilik kenderaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Serdang.

Sementara itu, Ketua Ak- tivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, beliau akan hadir di mesyuarat itu jika diminta berbuat demikian.

“Kami menghormati tindakan polis untuk menyiasat dengan lebih terperinci dan berharap nasib pengadu terbela,” katanya

TINDAKAN SELEPAS SELESAI SIASATAN

Kuala Lumpur: Sebarang tindakan undang-undang ke atas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung dakwaan penipuan pemajakan kereta hanya akan ditentukan selepas siasatan polis selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif AGR Auto Trade Sdn Bhd Datuk Seri C Kamaleshwaran berkata, perkara itu hanya akan diputuskan peguamnya selepas siasatan pihak berkuasa selesai.

Katanya, buat masa ini, tumpuannya selaku pemilik syarikat itu untuk membantu pemajak dan penyewa yang terbabit termasuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan.

“Memang kami sedang membuat pinjaman bagi menyelesaikan tunggakan yang wujud sebelum ini. Kami kesal dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang buat begini kepada kami,” katanya.

Kamaleshwaran berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihaknya sudah memaklumkan kepada pemajak mengenai pelan syarikat yang baru diambil alih 1 Mei lalu.

“Satu lagi, saya juga kesal dengan sikap aktivis mengaitkan saya dengan sejarah lampau saya. Yang lepas, lepaslah. Saya hanya mahu berniaga. Saya juga ada nama yang diberi ibu bapa saya.

“Apa yang berlaku ini, mereka menggelarkan saya dengan nama Kabi. Saya juga tidak terbabit dengan tangan ghaib, saluran politik atau pun dilindungi sesiapa,” katanya.

Sementara itu Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata, pihaknya bersedia dengan apa juga implikasi undang-undang dan mempertahankan tindakannya menemani pengadu ke syarikat itu baru-baru ini.

“Ya. Saya bersedia 100 peratus. Kita juga minta peguam supaya meneliti kes ini kerana ia mewakili pengadu yang teraniaya,” katanya.