Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Pemilik kenderaan tanggung beban – Berita Harian Online – 18/5/2017
19 May 2017

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan kewajaran pelaksanaan kadar premium insurans kenderaan berdasarkan profil risiko pemegang polisi yang akan berkuat kuasa Julai depan.

Liberalisasi kadar premium Motor Komprehensif itu akan menyebabkan kenaikan kadar premium insurans kenderaan, sekali gus membebankan pemilik kenderaan.

Justeru, NGO berkenaan mengesyorkan kepada kerajaan supaya pelaksanaannya ditangguhkan demi kepentingan orang ramai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pelaksanaan kadar insurans itu tidak sesuai pada masa ini kerana pemilik kenderaan berhadapan dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Tak sesuai pada masanya “Saya berpandangan ia tidak kena pada masa, keadaan dan tempat kerana saya percaya syarikat insurans sedang menyusun strategi untuk menaikkan kadar premium insurans dengan mengenakan pelbagai syarat yang boleh menaikkan harganya,” katanya.

Beliau bersetuju kesalahan lalu lintas patut diambil kira dalam penentuan kadar premium insurans tetapi pada masa ini belum sesuai memandangkan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) baharu dikuatkuasakan pada bulan lalu.

“Saya mencadangkan pelaksanaan kadar premium insurans berkenaan ditangguhkan kerana sistem itu (KEJARA dan AWAS) baru saja dinaiktaraf, yang mana integriti masih boleh dipersoalkan,” katanya.

Pelaksanaan kadar premium insurans itu selaras dengan dasar liberalisasi kadar premium Motor Komprehensif yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu yang akan dilaksanakan berperingkat sehingga tahun 2019.

Untuk fasa pertama, liberalisasi insurans kenderaan bermotor selama setahun bermula Julai depan hingga Ogos 2018, menetapkan harga produk insurans kenderaan bermotor tidak lagi ditentukan Tarif Motor, iaitu senarai harga yang sudah ditetapkan, sebaliknya ditentukan setiap penanggung insurans dan pengendali takaful.

Namun, kadar premium produk Motor Pihak Ketiga akan terus tertakluk kepada taraf tarif sedia ada.

Ia akan dinilai berdasarkan prestasi pelaksanaan liberalisasi insurans kenderaan bermotor selama setahun.

Tak wajar dilaksanakan Sementara itu, Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, pelaksanaan kadar insurans berdasarkan profil risiko pemegang insurans tidak wajar dilaksanakan.

Katanya, kebanyakan syarikat insurans masih memperoleh keuntungan setiap tahun dan tidak mengalami sebarang kerugian.

“Saya percaya jika langkah itu dilaksanakan, ia akan membebankan pengguna dan pemilik kenderaan di kawasan kampung yang kebanyakannya memiliki kenderaan yang usianya melebihi 10 tahun dan pemiliknya berusia lebih 60 tahun,” katanya.

Beliau percaya adalah satu usaha yang baik menaikkan kadar premium untuk pemilik kenderaan yang kerap melakukan kesalahan lalu lintas sebagai cara mendidik mereka mematuhi peraturan jalan raya.

Katanya, ia dikhuatiri jika faktor usia dan kapasiti kenderaan, persekitaran dan umur pemilik diambil kira, dikhuatiri ramai yang tidak akan mengambil insurans kerana kadarnya lebih tinggi.

“Ini perlu diperhalusi dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru hanya untuk keuntungan syarikat insurans,” katanya.

PIAM jamin tiada kenaikan melampau KUALALUMPUR: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi jaminan pelaksanaan kadar insurans berdasarkan profil risiko pemegang insurans tidak mengalami kenaikan melampau kerana Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan ia tidak boleh melebihi 10 peratus daripada harga tarif yang ditetapkan kerajaan.

Penyelaras Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia PIAM, Zainuddin Ishak, berkata bagi menjamin persaingan yang adil, BNM menetapkan kadar premium insurans juga tidak boleh kurang lebih 10 peratus daripada harga tarif.

“Oleh itu, tidak timbul isu mengenai harga premium insurans yang tinggi atau terlalu rendah walaupun kadarnya mengikut pasaran terbuka,” katanya kepada BH.

Harga lebih kompetitif Zainuddin menjelaskan liberalisasi premium insurans kenderaan itu dijangka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan insurans, selain meningkatkan rangkaian produk yang pelbagai pada harga kompetitif berikutan persaingan lebih sengit dalam kalangan penanggung insurans.

“Langkah itu akan juga secara tidak langsung memupuk tabiat pemanduan selamat bagi keselamatan diri sendiri dan orang lain memandangkan ciri keselamatan akan menjadi antara faktor yang menentukan premium.

Tawar lebih banyak pilihan untuk pengguna “Selain itu, saluran pengagihan baharu seperti saluran dalam talian dijangka bertambah dan menjurus kepada kos pemilikan perlindungan lebih rendah kosnya serta dapat dibeli dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan premium insurans berdasarkan profil risiko akan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pengurangan kadar premium.

“Sebelum ini, pengurangan kadar premium berdasarkan diskaun tanpa tuntutan (NCB/ NCD) dan ia hanya membabitkan kadar sehingga 55 peratus saja namun tertakluk kepada usia kenderaan,” katanya.

20170518 - Berita Harian Online - Pemilik kenderaan tanggung beban
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/283695