Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Malaysia Aktif – Pemilik Rumah Dilelong Tidak Terima Sebarang Notis – PPIM – 13/1/2017
13 Jan 2017

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Malaysiaaktif) – “Saya tidak mendapat sebarang surat atau notis yang menyatakan bahawa rumah saya akan dilelong dan hanya mengetahui perkara tersebut melalui iklan lelongan yang digantung di sekitar kawasan perumahan saya sahaja.”

Pemilik rumah, Norlihawati Hajidan, 42, melahirkan rasa terkilan beliau ketika ditemui dalam satu Sidang Media Khas anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Villa Puteri, Jalan Sultan Ismail di sini, hari ini.

“Tindakan pihak bank tersebut memberi kesan yang sangat mendalam terhadap emosi kami sekeluarga kerana terpaksa menanggung malu terhadap masyarakat sekeliling walaupun kami telah beberapa kali ke bank bagi berbincang dan mencari langkah penyelesaian masalah tersebut.”, jelas Norlihawati lagi.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang ditemui berkata, “Hasil daripada beberapa kali perjumpaan PPIM bersama pihak bank telah membuahkan hasil apabila pihak bank tersebut bersetuju untuk menangguhkan proses lelongan tersebut,”

“Bukan itu sahaja, malahan pihak bank juga turut bersetuju untuk menarik kembali status muflis yang dikenakan terhadap Norlihawati di samping mencari kaedah bagi melanjutkan tempoh bayaran semula rumah tersebut,” jelas beliau lagi.

Menurut Setiausaha Agung PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaided yang turut hadir di sidang media tersebut mengulas, “Sepatutnya pihak bank perlu mencari langkah penyelesaian terlebih dahulu sebelum mengisytiharkan muflis kepada mana-mana individu kerana kesan dari pengisytiharan muflis akan menyebabkan usaha untuk menyelamatkan aset individu tersebut terhalang dan menjadi lebih sukar.”

Malahan beliau turut mendakwa siasatan dalaman perlu dilakukan kepada mana-mana bank yang tidak mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan pengguna teraniaya kerana terdapat beberapa perkara yang menimbulkan keraguan di dalam kes Norlihawati ini.

Rumah yang dilelong oleh pihak bank tersebut mendapat perhatian masyarakat dan menggemparkan negara apabila tindakan Lee Hui Sen membatalkan hasrat membeli dan sanggup melepaskan deposit 10 peratus pembelian berjumlah RM44 ribu tanpa mengenali Norlihawati pada tahun lalu.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat melalui Tabung Kemanusiaan PPIM, CIMB Bank Berhad, Nombor Akaun 8602507446 atau menghubungi terus Sekretariat Tabung Kemanusian PPIM di talian 013 611 6666.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (tengah) bersama Setiausaha Agung PPIM, Abdul Kareem Said Khadaided (kiri) dan Penasihat Undang-Undang PPIM, Datuk Edward Lim (kanan) semasa sidang media diadakan

berita dari : MALAYSIA AKTIF